Berita

MALEK NOOR SUMBER INSPIRASI SAYA – SAZALI

 MALEK NOOR SUMBER INSPIRASI SAYA – SAZALI

Siapa sangka, atas dasar kecintaannya yang menebal dalam sukan bina badan, Sub Inspektor Sazali Samad atau lebih dikenali dengan jolokan Orang Besi PDRM pada zaman mudanya pernah mencari besi buruk dan dihantar ke bengkel kereta untuk dipateri seterusnya dijadikan 'dumbell' sebagai alat senamannya, memandangkan kesukaran untuk mencari gimnasium pada ketika itu. 

Segalanya bermula dengan keratan akhbar kejayaan atlit bina badan tersohor pada ketika itu, Malek Noor yang disimpannya dan dijadikan motivasi kepadanya untuk membawa impiannya ke peringkat lebih tinggi.

Semasa bekerja di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kuala Lumpur pada tahun 1987, beliau telah mendaftar di Pusat Latihan Bina Badan, Bukit Aman. Bermula di situlah, bakatnya mula dikesan oleh Allahyarham Deputi Superintendan Polis (DSP) Roslan Ahmad, pengelola bina badan PDRM pada ketika itu. 

Didikan Allahyarham DSP Roslan Ahmad ternyata meluahkan hasil apabila Sazali memenangi gelaran Mr. Kuala Lumpur dalam kategori Bantamweight (65 kg) seterusnya gelaran Mr. Malaysia pada 1991 yang melayakkannya mewakili negara ke Pertandingan Bina Badan Amatur Asia di Korea Selatan. 

Lebih manis, kejayaan tersebut membuka sinar baru buat Sazali apabila PDRM menawarkannya untuk menjadi seorang anggota polis dan atlet bina badan pasukan beruniform.

Ternyata peluang itu tidak disia-siakan Sazali yang terus gigih menjalani latihan untuk bergelar atlet bina badan yang tersohor di seluruh dunia.

Menyentuh kembali kepada rentetan kejayannya, Sazali yang telah 21 tahun berkecimpung dalam sukan bina badan mencipta sejarah tersendiri apabila muncul satu-satunya atlet dari Malaysia yang pernah merangkul gelaran Mr. Universe sebanyak empat kali. Kejayaan itu dilakar pada Kejohanan Bina Badan Dunia 2000 di Melaka, 2004 (Rusia), 2006 (Republik Czech) dan 2007 (Korea Selatan).

Beliau juga berjaya meraih gelaran Mr. Asia sebanyak lapan kali dan lebih membanggakan kejayaannya itu berjaya memadamkan rekod lama yang dipegang Malek Nor yang merekodkan gelaran Mr. Asia sebanyak enam kali.

Anggota polis kelahiran Batu Pahat ini juga sering dinobatkan pelbagai anugerah lantaran kejayaannya dan yang terbaru, beliau telah merangkul gelaran Olahragawan Negara 2013 serta Anugerah Malaysia Book Of Records 2014; ‘Outstanding Individual Award Category’.





PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS