Berita

CUBAAN LAPAN LELAKI BERTOPENG ROMPAK KEDAI EMAS DI CHERAS GAGAL

Kuala Lumpur, 19 Jun- Cubaan lapan lelaki bertopeng untuk merompak kedai emas di sebuah pasar raya di Cheras di sini, gagal selepas alat penggera premis terbabit berbunyi.

Dalam kejadian kira-kira 11.46 pagi tadi, empat suspek yang bersenjatakan penukul besi dan sepucuk pistol bertindak memecahkan kaca tempat pameran barang kemas.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata siasatan awal mendapati empat daripada lapan suspek itu masuk ke dalam premis berkenaan, manakala empat lagi yang menaiki motosikal menunggu di luar pasar raya berkenaan.

"Suspek mengacukan pistol ke arah salah seorang pekerja kedai sebelum memecahkan cermin pameran barang kemas. Sebaik penggera keselamatan kedai itu berbunyi, keempat-empat suspek yang panik terus melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar premis itu. Pekerja kedai tidak dicederakan.

Siasatan juga mendapati, hanya seorang suspek dipercayai memiliki pistol. Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan. Ini adalah insiden ketiga berlaku di premis berkenaan. Kes pertama berlaku pada 2008 dan kedua pada 2009," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Akta Kanun Keseksaan, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS