Berita

LIMA LELAKI TERMASUK DALANG DITAHAN DALAM KES WANG PALSU

Kuala Lumpur, 23 Jun- Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang disyaki menjadi dalang dalam sindiket memalsukan wang kertas di Lorong Haji Hussein, Jalan Chow Kit dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata dalam kejadian pukul 7 malam itu, kelima-lima lelaki yang terdiri daripada seorang dalang, dua ejen dan dua pembeli ditahan ketika sedang berurus niaga.

"Sebanyak 1,326 keping wang kertas palsu dirampas termasuk mata wang Malaysia, Indonesia, Singapura, Korea, Brazil, Turki, Papua New Guinea serta China," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Menurutnya, dalang berumur 47 tahun itu telah membawa masuk sebahagian besar wang terbabit dari Indonesia dan dibantu oleh dua ejennya yang merupakan warga tempatan berumur 54 dan 55 tahun.

"Suspek telah 17 kali memasuki negara ini atas pelbagai urusan dan kali terakhir berada di sini pada 17 Jun lalu sebelum ditahan. Suspek masuk ke negara ini secara sah menggunakan pas sosial," katanya.

Zainol berkata kedua-dua pembeli merupakan adik-beradik berumur 38 serta 45 tahun dan merupakan ejen hartanah.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman bermula semalam dan akan disambung reman selama tiga hari lagi.

Sementara itu, Zainol berkata polis sedang mengesan seorang lelaki yang cuba meragut beg tangan seorang wanita warga Australia di Jalan Conlay di sini Ahad lalu.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, dua peragut bermotosikal menghampiri mangsa sebelum pemboncengnya bertindak menarik beg tangan mangsa.

"Anggota polis yang sedang bertugas di sekitar kawasan itu telah bertindak pantas dan berjaya menahan salah seorang suspek (pembonceng) manakala seorang lagi suspek dapat melarikan diri," katanya.

Zainol berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek yang berumur 19 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine.

"Antara barangan yang dirampas ialah sebuah motosikal jenis Yamaha LC, dua topi keledar serta beberapa mata wang negara asing," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS