Berita

SINDIKET PENGEDARAN DADAH WARGA ASING, TEMPATAN TUMPAS

Oleh : Kpl Edwind Indo
Penyunting : Insp. Nithia a/p Perumal


Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama ‘Special Tactical Intelligence Narcotics Group’ (STING) telah berjaya menumpaskan seorang ahli sindiket pengedaran dadah warganegara Republik Venezuela di kawasan tuntutan bagasi balai ketibaan Kuala Lumpur International Airport (KLIA), Sepang, di sini, Jumaat lepas.

Hasil operasi turut berjaya merampas 2.8kg dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM672 ribu.

Dalam serbuan berasingan, seorang ahli sindiket pengedaran dadah warga tempatan tertumpas di sekitar kawasan Mutiara Kompleks, Jalan Ipoh, dekat sini.

Dadah jenis Syabu dipercayai diseludup dari negara China ke Malaysia dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier.

Rampasan 120.65kg dadah jenis Syabu dianggarkan bernilai RM24.13 juta. Turut disita sebuah kereta proton wira.

Pengarah JSJN, Dato’ Sri Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff berkata, kedua-dua kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat dalam perkongsian maklumat risikan antara jabatan kami bersama Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB) Thailand dan Central Narcotics Bureau (CNB) Singapore.

Kesemua tangkapan direman di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi siasatan lanjut.

Dato’ Sri Mohd Mokhtar Haji Mohd Shariff menunjukkan taktik sindiket menyembunyikan dadah

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS