Berita

MURID TAHUN ENAM YANG LEMAS DITEMUI

Ipoh, 21 Ogos- Mayat murid tahun enam yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kerian, berdekatan Taman Menteri, kira-kira 125 kilometer dari sini, pada Rabu lepas, ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Selama, DSP Loo Lian Lay berkata mayat Mohamad Shafiq Shazanie Roslan, 12, ditemui terapung di bawah jambatan Taman Menteri pada pukul 9.45 pagi tadi oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kerian.

Mayat mangsa ditemui tiga kilometer dari tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Selama untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Rabu lepas, Mohamad Shafiq dikatakan mandi bersama adik dan tujuh rakannya di Sungai Kerian yang terletak 100 meter dari belakang rumahnya di Taman Menteri.

Loo berkata mangsa dikatakan tenggelam timbul dan hilang dibawa arus sungai yang deras berikutan hujan lebat di hulu sungai.

Polis menerima laporan sejam selepas kejadian itu dan seterusnya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kerian untuk membantu operasi mencari, katanya.

Operasi mencari disertai anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kerian dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS