Berita

PASANGAN SUAMI ISTERI DITAHAN PROSES DAN MILIKI DADAH BERNILAI RM1.8 JUTA

Kuala Lumpur, 21 Dis- Sepasang suami isteri ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam pemprosesan dan menyimpan dadah yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, ACP Wan Abdullah Ishak berkata suspek lelaki berumur 35 tahun itu ditahan dalam kereta jenis Mercedes Benz di Jalan Bandar Baru Sri Petaling pada 4.30 petang Sabtu lepas.

"Hasil soal siasat, suspek lelaki membawa polis ke kondominium mewah di Sri Petaling dan menahan pasangannya warga Thailand berumur 33 tahun pada hari sama.

"Pemeriksaan di sebuah bilik kondominium itu polis menjumpai tempat memproses dan menyimpan dadah serta beberapa alat memproses bahan itu yang dirampas," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wan Abdullah berkata pihaknya juga merampas dadah disyaki syabu seberat 15,665 gram, cecair disyaki syabu seberat 945 gram dan cecair kimia jenis 'Acetone' seberat 4,000 gram.

"Hasil siasatan mendapati pasangan itu bergiat aktif dalam kegiatan berkenaan selama tiga bulan dan bekalan dadah ini dipercayai akan dipasarkan di sebelah selatan serta Pahang.

"Selain itu, mereka juga mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun, namun tidak menetap bersama suspek," katanya.

Wan Abdullah berkata pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian mereka dalam aktiviti pengedaran dadah dan punca bekalan yang diperoleh.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan Acara Jenayah dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS