Berita

45 INDIVIDU DITAHAN DALAM OP BANTERAS JUDI DI SEKITAR CHERAS

 

Kuala Lumpur, 29 Dis- Seramai 45 individu terdiri daripada operator dan kaki judi ditahan dalam Op Dadu di sekitar Cheras di sini, awal hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Unit Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman SAC Khairi Ahrasa berkata individu berusia 21 hingga 43 tahun itu ditahan dalam 13 serbuan berasingan bermula 8.30 malam semalam hingga 1 pagi tadi.

"Seramai 19 individu yang ditahan dikenal pasti sebagai penjaga premis manakala selebihnya adalah kaki judi.

"Kita turut merampas 278 komputer, 14 kerangka komputer, wang tunai berjumlah RM4,689 dan beberapa barang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua premis yang diserbu dikawal ketat dan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

"Premis ini menjalankan kegiatan secara sembunyi dan hanya untuk pelanggan tetap sahaja," katanya.

Khairi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 6(1)(C) Akta Judi Rumah Terbuka 1953, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.- BERNAMA

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS