Berita

JANGAN TERPENGARUH DENGAN VIRAL BANJIR - POLIS T'GANU

Kemaman, 29 Dis- Polis Terengganu meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan gambar serta maklumat yang diviralkan berhubung kejadian banjir yang mula melanda negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Dato' Rosli Ab Rahman berkata orang ramai boleh berhubung dengan pusat gerakan bencana atau merujuk laman rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengetahui situasi sebenar.

Katanya setakat ini keadaan banjir yang berlaku di beberapa daerah seperti Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman masih terkawal

"Kita harap orang ramai tidak mudah percaya dengan gambar mahupun maklumat yang tersebar luas di WhatApp, Facebook dan sebagainya. Seharusnya mereka perlu mendapatkan kesahihan tersebut dari pihak berkuasa.

"Ada setengah gambar yang diviralkan itu gambar lama dan ada juga melibatkan negeri lain yang mereka timbulkan," katanya kepada Bernama.

Dato' Rosli meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita dan gambar agar menghentikan tindakan sedemikian kerana boleh mengundang kekeliruan dan panik kepada orang ramai.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mengesan mereka yang tidak
bertanggungjawab menyebarkan gambar dan sebagainya.

Dato' Rosli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak perlu bimbang untuk meninggalkan kawasan rumah ketika berada di pusat perpindahan kerana pihak polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan kediaman mangsa banjir.

"Mereka perlu mematuhi arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa dan tidak perlu risau untuk meninggalkan kediaman sepanjang berada di pusat perpindahan.

"Kita menerusi Unit Rondaan Bermotosikal(URB), kereta peronda (MPV) sentiasa melakukan rondaan sebaik banjir melanda di negeri ini," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS