Berita

20 LELAKI DITAHAN, 127 KOMPUTER PERJUDIAN DIRAMPAS DALAM OP DADU

Kuala Lumpur, 30 Dis- Polis menahan 20 lelaki dan merampas 127 set komputer dalam Op Dadu di tujuh premis sekitar ibu negara dan Selangor, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Unit Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/ Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman SAC Khairi Ahrasa berkata kesemua mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun terdiri daripada penjaga dan pelanggan premis
berkenaan.

Katanya mereka yang ditahan dalam operasi bermula 4.30 petang hingga 12 tengah malam tadi terdiri daripada 18 warga tempatan dan dua warga Bangladesh.

"Selain set komputer, pelbagai peralatan capaian internet, buku dan dokumen berkaitan perniagaan turut dirampas selain wang tunai RM2,064," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Khairi berkata antara lokasi serbuan ialah Bandar Sri Permaisuri, Taman Midah Cheras, Taman Segar, Taman Pudu Ulu di Kuala Lumpur dan Taman Kosas, Ampang di Selangor.

Siasatan awal mendapati rata-rata premis judi yang diserbu telah beroperasi sejak sebulan lepas.

"Premis dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan penganjur mengenal pasti pemain atau pelanggan tetap sahaja.

"Kesemua hasil rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan Ampang untuk siasatan lanjut," kata Khairi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menganjurkan aktiviti mesin perjudian, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana kesalahan memasuki negara ini tanpa permit sah dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS