Berita

17 PENGEDAR DADAH DITAHAN, WANG TUNAI LEBIH RM10 RIBU DIRAMPAS


Langkawi, 25 Feb - Polis Langkawi berjaya memberkas 17 individu disyaki pengedar dadah serta merampas wang tunai berjumlah RM10,655 dipercayai hasil jualan dadah dalam operasi tiga hari di pulau peranginan ini yang berakhir malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Dr Che Ghazali Che Awang berkata kira-kira 1.3 kilogram heroin, 116 gram syabu, 50 gram ketamin dan 75 pil ekstasi turut dirampas dalam operasi itu.

"Selain wang tunai, polis turut menyita satu kereta yang dipercayai digunakan pengedar-pengedar ini yang kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek itu adalah antara 72 individu yang diberkas dalam operasi di bawah program Jihad Memerangi Dadah yang bertujuan membendung masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Langkawi.

“Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS