Berita

KDN, PDRM KOMITED BANTERAS NAJIS DADAH

Oleh : Tansila Sulaimi (Plajar Praktikal)
Penyunting : Kpl Edwind Indo & Siti Fatimah Abdul Manan

Kuala Lumpur, 29 Feb – Najis dadah dilabelkan sebagai musuh nombor satu dalam negara dan usaha membenteras gejala itu dipergiat melalui satu Mesyuarat Bulanan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Narkotik Pulapol, Jalan Semarak Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mesyuarat anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) tersebut bertujuan merangka strategi baharu dan meningkatkan langkah memerangi dadah habis-habisan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim dalam ucapan berkata,  JSJN telah berjaya menangkap seramai 182,787 orang sepanjang tahun 2015, dan jumlah ini meningkat sebanyak 5% berbanding tangkapan pada tahun 2014 iaitu seramai 174,427 orang dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM238.87 juta pada tahun 2015 berbanding jumlah rampasan bernilai RM238.54 juta yang meningkat sebanyak 0.1% pada tahun 2014.

Dalam pada itu, menyentuh isu ‘vape’ atau dikenali rokok elektrik, beliau berkata pihak polis telah mengesan kewujudan sindiket yang mengambil peluang mengadun cecair vape dengan dadah ganja.

“Seramai 22 orang telah ditangkap dan 10,616 botol cecair vape (9.18 liter) serta 52 peranti vape telah dirampas pada tahun 2015”, tambah beliau lagi.

Di akhir ucapan, beliau mewakili PDRM mengucapkan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama wakil tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas sokongan berterusan usaha membasmi isu dadah dalam negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Tuan Masir Kujat, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YB Dato’ Sri Alwi Haji Ibrahim, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Pengurusan), YB Dato’ Wan Ali Besar, Pengarah JSJN, Dato’ Sri Mohd Mokhtar Haji Shariff, Pengarah-pengarah Jabatan PDRM, Pegawai-pegawai Kanan KDN dan PDRM.

_MG_4704
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meninjau alat yang digunakan ketika operasi oleh JSJN

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS