Berita

MAJLIS MERAIKAN PASUKAN OPERASI KHAS F (PASUKAN F) PDRM

MAJLIS MERAIKAN PASUKAN OPERASI KHAS F (PASUKAN F) PDRM

Kuala Lumpur, 6 Disember 2016 - Majlis Makan Malam Pasukan F: Jasamu Dikenang telah diadakan sebentar tadi di Dewan Bankuet, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur bagi meraikan barisan perwira negara di kalangan Pasukan Operasi Khas (E3F) menentang anasir subversif komunis dalam negara ini suatu ketika dahulu.

Adalah menjadi hari penting dalam sejarah tanah air, kerana buat kali pertama, pengkisahan berkenaan Pasukan Operasi Khas F ini didedahkan setelah lebih dua dekad kejayaan pasukan ini dalam menabur bakti dan jasa kepada negara tersimpan rapi tanpa pengetahuan umum.

Pasukan Operasi Khas (E3F) atau lebih dikenali sebagai Pasukan F ini telah diletakkan di dalam Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana misi ulungnya adalah untuk menamatkan perjuangan bersenjata komunis oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara sehingga Perjanjian Damai Haadyai termetrai pada tarikh keramat 2 Disember 1989.

Berpegang teguh kepada motto, ‘Hanya Yang Berani’, kecemerlangan pasukan elit Cawangan Khas PDRM ini tidak dapat dinafikan lagi menerusi beberapa siri operasi gah yang telah dilancarkan demi mempertahankan tanah watan daripada dijajah komunis.

 Antara operasi-operasi mega yang sering disanjung dan diingati sehingga kini adalah Operasi Kelong pada tahun 1976, Operasi Kelah pada tahun 1982 dan Operasi Taloong pada tahun 1988.

Majlis meraikan perwira-perwira negara ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim dan turut dihadiri oleh bekas Ketua Polis Negara kelima, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang juga merupakan individu penting bagi memastikan Perjanjian Damai Haadyai 1989 itu sendiri tercapai.

Dalam majlis tersebut juga telah diserikan lagi dengan beberapa persembahan khas dan bacaan sajak oleh para pegawai dan anggota PDRM.

Para tetamu yang hadir turut 'dibawa' kembali menelusuri zaman kegemilangan pasukan ini menerusi beberapa klip video yang ditayangkan.

Tan Sri Noor Rashid yang hadir mewakili pucuk pimpinan PDRM pada malam ini telah turut berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 131 orang perwira yang masih berkhidmat dan telah bersara yang pernah berkhidmat dalam Pasukan F. Hadir sama dalam majlis yang penuh bersejarah itu adalah Pengarah Cawangan Khas, Dato' Seri Mohamad Fuzi Harun, para pegawai kanan PDRM dan rakan-rakan media.


_MG_8884
Pertemuan semula perwira-perwira dari Pasukan F dalam majlis sebentar tadi..

_MG_8915
Pertemuan semula perwira-perwira dari Pasukan F dalam majlis sebentar tadi..

_MG_8908
Pertemuan semula perwira-perwira dari Pasukan F dalam majlis sebentar tadi..
_MG_8960
ucapan pengkisahan penugasan-penugasan Pasukan F oleh ASP (B) Tn Haji Kamaruddin Hj. Hashim...

_MG_8985
Ucapan daripada Pengarah Cawangan Khas, Dato' Seri Mohamad Fuzi Harun

_MG_9002
Ucapan daripada bekas Ketua Polis Negara kelima, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor...

_MG_9050
Sekitar penyampaian sijil penghargaan kepada para perwira Pasukan F oleh Timbalan Ketua Polis Negara...

_MG_9091
Sekitar penyampaian sijil penghargaan kepada para perwira Pasukan F oleh Timbalan Ketua Polis Negara...

_MG_9142
Sekitar penyampaian sijil penghargaan kepada para perwira Pasukan F oleh Timbalan Ketua Polis Negara...

_MG_9434
Upacara memotong pulut kuning oleh Timbalan Ketua Polis Negara..

B2B_3832
Sesi gambar kenangan...
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS