Berita

MASYARAKAT TIDAK AKAN RUGI JADI MATA DAN TELINGA PIHAK POLIS

Banting, 27 Mac 2017 - Dua orang awam antara 16 penerima sijil penghargaan sempena sambutan Hari Polis ke-210 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kelmarin.

Seorang penerima dari Kampung Permatang Pasir, Hassan Salleh, 52, berkata, penghargaan yang diterimanya itu dianggap sebagai rezeki.

Menurutnya, dia hanya membantu menyalurkan maklumat dan tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan.

“Mula-mula saya terkejut dan tak sangka dapat sijil ni. Apa yang saya dapat ni buatkan saya lebih bersemangat untuk terus salur maklumat kepada polis.

“Saya juga harap masyarakat lain tak kira siapa pun mereka dapat bekerjasama banteras dan kekang jenayah, kalau bukan kita siapa lagi?,” katanya.

Seorang lagi penerima yang juga ahli Community Policing dari Taman Delima, Lim Wei Chien, 30, berkata, pemberian sijil berkenaan menjadi titik semangat untuk terus bantu mengekalkan kesejahteraan komuniti.

“Saya memang suka jalankan aktiviti bersama masyarakat, lebih-lebih lagi bila libatkan soal keharmonian.

“Bagi saya kerjasama polis dan masyarakat sangat-sangat penting. Kita semua nak hidup aman dan selamat...jadi tak rugi kita sumbangkan apa yang termampu untuk jadi mata dan telinga polis,” katanya.

Dalam program berkenaan 14 lagi pegawai dan anggota polis IPD Kuala Langat turut menerima sijil penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman.

Azizan dalam ucapannya memberitahu program itu diadakan sebagai tanda penghargaan kerjasama antara anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara.

Sumber: Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS