Berita

LAGI POLIS TUMPASKAN SINDIKET MACAU SCAM, KALI INI DI NEGERI MELAKA

Melaka, 29 Mei 2017 - Polis menyelesaikan 100 kes penipuan Macau Scam berjumlah RM13.4 juta dengan penahanan 26 ahli sindiket di Ayer Keroh, Jumaat lalu.

Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan 25 warga China serta Taiwan, termasuk 13 wanita, berusia antara 18 tahun dan 51 tahun.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ruslan Hassan, berkata ketika serbuan, semua suspek sedang sibuk menjalankan kegiatan berkenaan.

"Hasil serbuan, polis merampas wang tunai RM2,100, dua komputer riba, modem (16), mesin pencetak (2), telefon (16), telefon bimbit (21), alamat protokol Internet (22), walkie-talkie (7), buku nota, fail dan Toyota Alphard.

"Siasatan awal mendapati, sindiket ini berada di Melaka sejak tiga bulan lalu dengan mangsa terdiri daripada warga tempatan dan Hong Kong," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, hari ini.

Ruslan berkata, susulan penahanan suspek, polis menyelesaikan 48 kes penipuan pada tahun lalu dan 52 kes bagi tempoh Januari hingga April lalu membabitkan kerugian kira-kira RM13.4 juta.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada individu tidak dikenali, selain tidak berkongsi maklumat peribadi," katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS