Berita

POLIS TUMPASKAN SI PENCURI BESI PENYAMBUNG METER AIR DI IPOH

Ipoh, 15 Jun 2017 - Polis menahan dua lelaki berusia 31 dan 33 tahun dan menumpaskan kegiatan curi paip penyambung meter air yang kerap dilaporkan di sekitar kawasan Simpang Pulai di sini sejak beberapa bulan lalu.

Dua suspek itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Pulai yang membuat rondaan bersama dengan Unit Polis Bantuan Pinji Botanics Sdn Bhd pada jam 5.30 petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, kedua-dua lelaki yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi dalam bangunan.

"Selain menahan dua lelaki terbabit polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan berkenaan iaitu satu beg sandang, dua spanar besi aloi dan masing-masing satu spanar perengkoh paip, pemotong, ranggum, playar, pemutar skru, penyambung T paip, plastik guni dan 20 batang besi penyambung meter air.

"Difahamkan kedua-dua lelaki itu aktif menjalankan kegiatan berkenaan di sekitar kawasan Simpang Pulai sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Rani berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dari suspek berusia 33 tahun kerana dipercayai motosikal curi yang dilaporkan hilang di Jelapang, Ipoh pada 1 Jun lalu.

Katanya, kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut termasuk mengenalpasti lokasi suspek melupuskan besi dicuri dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS