Berita

WAR AGAINST DRUGS: BURUH DITAHAN BERSAMA 146 BIJI PIL KUDA DI KELANTAN

Bachok, 19 Julai 2017 - Seorang buruh berusia 23 tahun ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok ketika sedang leka menjalankan urusan jual beli dadah di Kampung Telong, semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, suspek sudah lama diperhatikan kerana pada 2014 dan 2016 dia pernah mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, ketika serbuan, suspek sedang berurusan dengan tiga lagi lelaki lain berdekatan rumahnya.

“Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, anggota polis terpaksa mengejar suspek kira-kira 10 meter sebelum berjaya menahannya.

"Anggota polis menemui sejumlah 146 biji pil merah jenis yaba (kuda) yang keseluruhannya bernilai RM2,920. Pil itu disimpan dalam kotak rokok dan gula-gula," katanya ketika sidang media di IPD Bachok, petang semalam.

Suspek ditahan mengikut 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Nik Aminuddin berkata, suspek yang juga positif pil kuda itu menjadi pengedar kecil-kecilan sejak terlibat dengan dadah pada 2014.

Beliau berkata, tiga lagi lelaki lain yang ditangkap berusia di antara 20 hingga 30 tahun direman dan didakwa di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Operasi ini adalah rutin harian biasa untuk mengesan mereka yang terlibat dadah dan mengekang penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS