Berita

HARI HIJAU PDRM AKAN DISAMBUT SETIAP TAHUN

Kuala Lumpur, 5 Ogos 2017 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menetapkan hari Sabtu pada minggu pertama bulan Ogos sebagai sambutan tahunan Hari Hijau PDRM, selaras dengan usaha berterusan PDRM menyahut Dasar Teknologi Hijau Negara sekaligus menjadi agensi kerajaan pertama dalam mempelopori amalan-amalan hijau.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pendekatan yang diambil oleh PDRM ini akan menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dalam aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial. Beliau berucap mewakili Ketua Polis Negara sempena merasmikan Majlis Pelancaran Hari Hijau PDRM Tahun 2017 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tambah beliau, jika kesemua usaha ini berjaya dilaksanakan, PDRM berpotensi untuk mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sehingga 33.7 kilotan menjelang tahun 2020 sekaligus mengurangkan 45 peratus pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) daripada Intensiti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030.

Terdahulu, Majlis Sambutan Hari Hijau PDRM ini telah diadakan serentak di semua kontinjen di seluruh negara dan apa yang paling menarik adalah sambutan ini diadakan secara langsung melalui sidang video dari semua kontinjen yang terlibat.

Aturcara program pada hari ini juga telah diserikan dengan sesi lawatan ke ‘booth’ Pameran Produk Hijau Dengan Kerjasama Malaysian Green Technology Corporation (MGTC), acara menanam pokok oleh Timbalan Ketua Polis Negara, acara berbasikal mengelilingi PULAPOL KL serta Taman Tasik Titiwangsa sejauh 6.5 kilometer, acara gotong royong pucuk pimpinan PDRM bersama penduduk Kampung Melati, PULAPOL KL serta pengumpulan barangan 3R dengan kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd.

Turut hadir pada hari ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Amalan Hijau Dan Aplikasi Teknologi Hijau PDRM, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah, Pengarah Pengurusan, Dato’ Ghafar Rajab, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijau Malaysia bagi mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Encik Amin Abdullah, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai pegawai kanan serta anggota PDRM.

_MG_9453
Ucapan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

_MG_9485
Ucapan dan perasmian dilakukan secara Video Conferencing bersama Ketua-ketua Polis Negeri dan Komander.

_MG_9513
Gimik perasmian

IMG_9657
Acara penanaman pokok oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.
 
 
 
 

IMG_1255
Lawatan ke Booth Pameran Produk Hijau.
 
 

IMG_1428
acara gotong royong pucuk pimpinan PDRM bersama penduduk Kampung Melati, PULAPOL KL serta pengumpulan barangan 3R dengan kerjasama Alam Flora Sdn. Bhd.
IMG_1493
Acara berbasikal mengelilingi PULAPOL Kuala Lumpur dan Tasik Titiwangsa.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS