Berita

DADAH 100 RIBU DIRAMPAS, 9 LELAKI DITAHAN

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2017 – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan elemen Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) telah berjaya menahan seramai 9 ahli sindiket warga Afrika dalam 3 serbuan di sekitar kawasan Lembah Klang iaitu Seri Kembangan, Petaling Jaya, Selangor dan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Dalam serbuan tersebut, lapan lelaki warganegara Nigeria berumur di antara 25 hingga 42 tahun dan seorang perempuan warganegara Uganda berumur 34 tahun telah berjaya ditahan oleh pihak polis.

Hasil rampasan sebanyak 24.5 kilogram yang disyaki jenis ganja bernilai RM 100 ribu. Bercakap pada sidang media kejayaan JSJN yang diadakan di Bukit Aman, pagi tadi, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, DCP Dato’ Kang Chez Chiang menjelaskan kejayaan ini merupakan hasil kerjasama perkongsian maklumat dan risikan dengan ‘Drug Enforcement Administration’ (DEA) dalam membanteras sindiket dadah daripada berleluasa.

“Kesemua suspek direman selama 7 hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952” tambah beliau lagi.

 Mengakhiri sidang media tersebut, DCP Dato’ Kang Chez Chiang berharap agar JSJN sentiasa meneruskan kolaborasi dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dadah antarabangsa dan tempatan ke arah tindakan pembanterasan dadah. .

Kolaborasi tersebut akan memberi impak dalam usaha memastikan negara ini tidak dijadikan sebagai destinasi atau transit dadah oleh mana-mana sindiket dadah antarabangsa.

1
Antara dadah yang dirampas

2
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, DCP Dato’ Kang Chez Chiang bersama dadah yang berjaya dirampas.

3
Sekitar sidang media
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS