Berita

HARI KEBANGSAAN KE-60 TAHUN NEGARA DISAMBUT MERIAH DAN PENUH PATRIOTIK

Kuala Lumpur, 31 Ogos 2017 - Hari Kebangsaan negara yang ke-60 tahun bagi tahun 2017 hari ini disambut penuh meriah dan patriotik dengan Persembahan khas pentomen 'F Team: Hanya Yang Berani' Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta perarakan pelbagai elemen polis di Dataran Merdeka, selaras dengan tema kebangsaan 'Negaraku Sehati Sejiwa'.

Acara sambutan pada tahun ini turut memberi penghargaan tinggi kepada PDRM apabila pasukan elit F Team dari Cawangan Khas yang pernah berkorban mempertahankan negara ketika era komunis dahulu didedahkan buat pertama kalinya melalui persembahan pentomen khas yang berjaya mencuri tumpuan penonton.

Ia disusuli dengan persembahan lintas hormat perarakan kontinjen PDRM di hadapan tetamu negara, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersama Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan timbalannya Dato' Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Dato' Sri Zulkifli Abdullah menunggang kuda bernama 'Ernie' bersama 30 para pegawai dan anggota Unit Berkuda PDRM.

Majlis yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran pucuk pimpinan PDRM sendiri, Tan Sri Dato' Sri Khalid Abu Bakar bersama timbalannya, Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim bersama ribuan pengunjung yang hadir untuk menyaksikan sambutan bersejarah pada tahun ini.

Turut hadir dengan bersama-sama mengibarkan bendera kebanggaan negara iaitu Jalur Gemilang adalah barisan Pengarah Jabatan dan warga kerja PDRM sendiri yang turun bertugas seawal jam 4.00 pagi tadi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran lalu-lintas di sepanjang lokasi majlis berlangsung.

Seramai 1,454 peserta dari pelbagai pangkat bersama 127 buah aset milik PDRM mengambil bahagian pada tahun ini termasuk kereta MPV, Unit Rondaan Bermotosikal (URB), AMANITA, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), unit elit Komando 69 dan Unit Tindakhas (UTK), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan (K9) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT).

Kontinjen PDRM ternyata berjaya menarik perhatian masyarakat terutamanya anak-anak kecil yang sentiasa menjadikan aset milik PDRM sebagai salah satu elemen wajib untuk bergambar kenang-kenangan pada sambutan yang diadakan setahun sekali ini.

Majlis yang selesai kira-kira jam 11.30 pagi tadi turut diulas sendiri secara langsung menerusi siaran rasmi Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 oleh Ketua Komunikasi Korporat PDRM, SAC Datin Asmawati Ahmad bersama Leftenan Kolonel Zahrulail dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

1234561178910
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS