Berita

USAHA PELBAGAI PIHAK TERAP KESEDARAN SALAH LAKU DI KALANGAN GENERASI MUDA DIHARGAI

USAHA PELBAGAI PIHAK TERAP KESEDARAN SALAH LAKU DI KALANGAN GENERASI MUDA DIHARGAI

Kuala Lumpur, 30 September 2017 - Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Sri Mohd. Mokhtar Hj. Mohd. Shariff berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat mengalukan dan menyambut baik usaha dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam membantu pihak polis menerapkan kesedaran tentang salah laku jenayah dan mencegah aktiviti ektremisme di kalangan generasi muda dari peringkat akar umbi.

“Kerjasama ini mampu melahirkan generasi pemimpin negara pada masa hadapan yang memiliki sahsiah terpuji, berpendidikan tinggi, mempunyai jati diri dan semangat cintakan negara,” ucap beliau ketika menghadiri Majlis Penutup Seminar Pemantapan Budi Ke-2 dan Majlis Makan Malam Alumni Chapter Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diadakan di Pusat Kebudayaan UIAM, di sini, malam tadi.

Dalam ucapan beliau mewakili Ketua Polis Negara, CP Dato’ Sri Mohd. Mokhtar berkata, kolaborasi antara Alumni Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Alumni Chapter Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia UIAM ini menjadi sejarah tersendiri, di mana dua entiti berasaskan ‘kepentingan umum’ telah berganding bahu mewujudkan kerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang melibatkan alumni, pelajar dan UIAM.

“Ia bertepatan dengan tema Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-210 yang lalu iaitu, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Jalinan kerjasama yang terbentuk ini bakal melahirkan satu lembaran baharu ke arah memberi kesedaran dan pendedahan berkaitan modus operandi militan, serta bersama-sama membanteras kegiatan dan ancaman kumpulan tersebut.

“PDRM sentiasa mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) terutama pada ketika negara kini sedang berhadapan dengan ancaman militan yang cuba mempengaruhi dan memesongkan golongan muda agar menyertai kumpulan militan yang kononnya berjuang atas nama agama,” tegas beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Cawangan Khas (E2), SAC Dato’ Yusoff Mohd Amin, Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Datuk Hj Maideen Kadir Shah dan Timbalan Rektor Pengantarabangsaan Industri dan Perhubungan Awam UIAM, Prof. DR Abdelaziz Berghout.

Terdahulu, para pelajar UIAM dipertontonkan slide pembentangan mengenai langkah-langkah mencegah aktiviti ekstremisme serta kaedah untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa yang telah disampaikan oleh Pegawai Turus Pencegahan Keganasan Cawangan Khas E8 (M), Superintenden Ahmad Norisham Ma’aruse dalam sesi taklimat pada petang tadi.

12
3
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS