Berita

BISNES SUDAH LINGKUP, TAUKEY JUDI JUAL PULA PERALATAN JUDI MENERUSI MEDIA SOSIAL

Shah Alam, 27 Oktober 2017 - Demi mengelak daripada tindakan pihak polis, tauke mesin judi di sekitar Lembah Klang dikesan bukan sahaja terpaksa menutup premis, malah turut melelongkan mesin judi simulator dan set komputer melalui media sosial.

Difahamkan, setelah menyedari pihak polis melakukan operasi pembanterasan terhadap premis mesin judi secara besar-besaran sejak akhir-akhir ini, ramai pengusaha terbabit dalam kegiatan haram itu terpaksa mengambil langkah berwaspada.

"Segelintir tauke sanggup memberanikan diri meneruskan operasi, namun tidak kurang juga yang tidak mahu ambil risiko ditahan polis," lapor China Press.

Menurut akhbar ini, selain menjual semua peralatan yang ada dalam premis kepada kenalan, mereka juga mengiklankan melalui Facebook kerana cara itu dikatakan lebih berkesan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, buat masa ini pihak polis masih belum menerima sebarang maklumat mengenai penjualan mesin slot dan set komputer melalui Facebook.

"Pihak polis akan bertindak mengikut maklumat diberikan. Jika memperoleh bukti cukup, polis akan bertindak serta-merta.

"Tanpa mengira siapa, selagi mereka berurus niaga mesin slot judi, sama ada penjual mahupun pembeli, kedua-dua pihak menyalahi undang-undang dan akan dikenakan tindakan sewajarnya," kata Noor Rashid kepada akhbar ini.

Beliau berkata, matlamat polis dalam membanteras kegiatan judi adalah jelas iaitu sesiapa yang didapati mempunyai mesin slot ataupun menganjurkan sebarang kegiatan judi haram, mereka pasti akan dikenakan tindakan polis mengikut undang-undang sedia ada.

Sumber: Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS