Berita

IBU TUNGGAL LACUR ANAK DITAHAN

IBU TUNGGAL LACUR ANAK DITAHAN

SEORANG ibu tunggal berusia 39 tahun ditahan polis di sebuah rumah di Senai, Johor, pada 25 Oktober lalu kerana disyaki melacurkan dua anak kandungnya berusia lapan dan 10 tahun kepada warga Bangladesh.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, ibu tunggal itu dipercayai melacurkan anaknya kepada tiga warga Bangladesh yang juga kenalannya.

Menurutnya, perbuatan keji wanita itu dikesan hasil maklumat orang ramai.

“Ibu mangsa dikatakan membawa mangsa ke hotel bajet di Larkin, Johor Bahru, sebelum meninggalkannya bersama lelaki warga asing berusia 30-an.

"Ketika itu, dia dipercayai tinggal di bilik berasingan dan dikatakan menerima sejumlah bayaran hasil melacurkan kedua-dua anaknya itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Pencegahan Jenayah Kecurian Kabel TM di Hotel Grand Paragon, hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada wanita itu seorang penagih dadah atau tidak.

"Kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi pemeriksaan dan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut," katanya.

Mohd Khalil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan wanita berkenaan masih ditahan reman.

Katanya, pihaknya masih berusaha mengesan kumpulan warga asing berkenaan bagi membantu siasatan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/utama/2017/10/278587/kenapa-begitu-keji
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS