Berita

POLIS TAHAN DUA PELAJAR KOLEJ, RAMPAS DADAH RM37,440


Kuching, 4 Jan 2018 - Polis menahan dua pelajar kolej selepas menemui dadah pelbagai  jenis yang dianggar bernilai RM37,440 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Stutong di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Sahar Abd Latif berkata kedua-dua pelajar yang berumur 19 dan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dibuat susulan aduan orang ramai dan hasil risikan, pada kira-kira 2.30 petang.

Beliau berkata selepas diperiksa, polis menemui satu bekas plastik yang dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin seberat 18.8 gram serta pil ekstasi seberat 114 gram dalam rumah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut menemui beberapa paket plastik warna perak masing-masing berisi campuran jus buah-buahan dan serbuk ekstasi seberat 162 gram serta pil erimin 5 seberat 78.50 gram, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sahar berkata polis juga merampas sebuah kereta Perodua Kelisa, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha R2 serta sejumlah wang tunai RM1,208 dan menurutnya semakan mendapati kedua-dua  suspek yang mengaku mengedar dadah sejak pertengahan tahun lalu, tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS