Berita

SAMBUTAN ULANG TAHUN UTK KE-43 DISAMBUT MERIAH

Kuala Lumpur, 6 Januari 2018 – Seramai lebih kurang 300 Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis dari Unit Tindakhas (UTK) termasuk ahli keluarga mereka hadir memeriahkan Sambutan Ulang Tahun UTK ke-43 yang diadakan di pekarangan Ibu Pejabat UTK, dekat Bukit Aman, pagi tadi.

Sambutan yang berkonsepkan kekeluargaan itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti nombor cabutan bertuah, sukaneka untuk kanak-kanak, acara berbasikal "fun ride" sejauh 16 kilometer (km), larian marathon 12km yang melibatkan semua operatif dalam UTK sendiri.

Kesemua program yang dilaksanakan pagi tadi adalah bertujuan untuk menyahut seruan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman, Dato' Sri Zulkifli Abdullah yang mahukan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan gaya hidup sihat selari dengan dasar "Trim and Fit" yang dipelopori oleh beliau.

Komander UTK yang hadir selaku tetamu kehormat, Datuk Mastor Mohd. Ariff dalam ucapan beliau berkata, program seumpama ini diharap dapat memupuk semangat kerjasama bepasukan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan di kalangan warga UTK itu sendiri.

"Saya berharap di masa akan datang, kita dapat mengadakan program yang seumpama ini dengan penyertaan yang lebih besar lagi agar ukhuwah hubungan sesama kita dapat terjalin dengan lebih kuat dan mantap," ujar beliau.

Tarikh 1 Januari merupakan hari yang paling istimewa buat seluruh warga UTK kerana pada tarikh keramat inilah unit elit yang menjadi kebanggaan seluruh warga PDRM ini ditubuhkan sejak 43 tahun lalu iaitu pada 1 Januari 1975.

Hadir sama memeriahkan majlis pagi tadi adalah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) UTK, Datin Suhaidah Othman dan warga UTK PDRM.



Sesi bergambar kenangan di Sambutan Ulang Tahun UTK ke-43.


Bergambar kenangan sebelum pelepasan acara berbasikal "fun ride" sejauh 16 kilometer (km) sempena Sambutan Ulang Tahun UTK ke-43.


Sekitar acara sukaneka sempena Sambutan Ulang Tahun UTK ke-43.


Sekitar acara sukaneka sempena Sambutan Ulang Tahun UTK ke-43.


Antara yang hadir memeriahkan Sambutan Ulang Tahun UTK ke-43.


Bergambar kenangan sebelum pelepasan larian marathon 12km.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS