Berita

BROTHERS MOTOR: POLIS BERUSAHA TARIK GOLONGAN MUDA JAUHI LUMBA HARAM

Kota Tinggi, 16 Mei 2018 - Usaha menarik golongan muda menjauhi lumba haram sekali gus berbakti kepada masyarakat diterjemahkan melalui program High Profile Policing Dan Gotong-Royong Bersama Brothers Motor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, program peringkat daerah Kota Tinggi berlangsung di Kampung Lukut disertai seramai 120 peserta termasuk 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, program itu dimulakan dengan konvoi yang disertai Brothers Motor dalam daerah Kota Tinggi bermula di Dataran Menara Jam Kota Tinggi dan menuju ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lukut.

“Selesai sesi gotong-royong di tanah perkuburan, konvoi menuju ke Dewan Semerah Padi, Kampung Lukut bagi majlis penutup.

“Objektif program ini diadakan adalah untuk menjalankan aktiviti sihat serta memberi khidmat kebajikan kepada masyarakat.

“Di samping itu memberi ruang kepada anak melakukan aktiviti bermoral dan menjauhi aktiviti lumba haram,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Nik Azaham Nik Aziz, Ketua Kampung Lukut, Amran Saari, Naib Yang Dipertua Khairat Kematian Kampung Lukut, Baharum Saad.

Sumber: Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS