Berita

AGENDA KESELAMATAN DAN KEAMANAN NEGARA FOKUS KDN - MDN

Kuala Lumpur, 22 Mei 2018 - Usaha memastikan keselamatan dan keamanan negara selain isu berkaitan imigresen dan pekerja asing merupakan antara agenda utama yang akan diberi perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perkara lain yang akan turut diberi perhatian ialah usaha mengurangkan kadar jenayah dan membanteras penyalahgunaan dadah serta hal berkaitan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang dijangka diadakan Rabu ini, kata Muhyiddin kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia bersama 12 menteri kabinet yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara pada Isnin.

"Hasrat saya ialah memastikan keselamatan dan keamanan negara sentiasa terjamin selain melaksanakan tugas yang diamanahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita mahu aspek keselamatan menjadi sebahagian daripada perkara yang ditekankan kepada rakyat. InsyaAllah saya akan laksanakan apa yang terbaik," kata beliau.

Sumber: Astro AWANI

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS