Berita

PDRM PERKEMAS KAEDAH PSIKOLOGI TINGKATKAN MUTU KHIDMAT PASUKAN

Kuala Lumpur, 22 Mei 2018 – Sebagai usaha berterusan dalam pembentukan modal insan yang mempunyai nilai-nilai murni dan etika kerja cemerlang sekaligus meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menganjurkan Seminar Pegawai Psikologi PDRM Se-Malaysia Tahun 2018 di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Seminar yang julung kalinya diadakan ini telah berjaya menghimpunkan hampir 400 warga PDRM berkelulusan dalam bidang Psikologi dan Kaunseling dari seluruh Malaysia. Mereka terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis, pegawai psikologi dan penolong pegawai psikologi dari JSJ serta wakil Cawangan Agama dan Kaunseling (BAKA).

Seminar ini menjadi pentas perkongsian tentang peranan PDRM di peringkat jabatan sejajar dengan objektifnya, iaitu untuk memberi pendedahan berkaitan Perkhidmatan Psikologi dalam konteks keselamatan dan kesejahteraan awam, sebagai perkongsian ilmu mengenai pengendalian mangsa jenayah, pesalah kanak-kanak dan dewasa, saksi serta ahli keluarga dan memberi pendedahan tentang peranan Pegawai Psikologi dan Pegawai Khidmat Sokongan Mangsa PDRM secara holistik.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, psikologi keselamatan merupakan satu bidang kepakaran yang baharu berkembang di Malaysia di mana ianya lebih tertumpu kepada inisiatif dalam langkah-langkah pencegahan terutamanya berkaitan salah laku dan perlakuan jenayah. “Integriti merupakan salah satu cabaran yang perlu diberi penekanan dan perhatian kerana ia mampu mencorakkan nilai-nilai moral dan etika serta pemikiran rasional untuk mencegah penyalahgunaan kuasa semasa kita melaksanakan tugas,” katanya.

Tambahnya lagi, menyedari kepentingan melahirkan warga pasukan yang berintegriti, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) melalui BAKA sentiasa merangka pelbagai program khusus berbentuk pendekatan psikologi dan kerohanian serta keagamaan. Menyentuh mengenai aspek kesejahteraan awam pula, Tan Sri Noor Rashid berkata, ia merujuk kepada langkah-langkah pemulihan mangsa jenayah oleh ‘Victim Care Officer’ (VCO) sebagai Panel Rujukan Pembangunan Kluster Psikologi dan Keselamatan Kementerian Dalam Negeri.

Menurut beliau, pegawai-pegawai VCO berperanan sebagai elemen Sokongan Psikologikal dalam menjalankan sesi kaunseling kelompok bersama orang-orang dalam tahanan dengan menggunakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian.

Seminar ini turut dihadiri Pengarah JSJ selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, Ketua Polis Negeri Sembilan, Dato’ Noor Azam Jamaludin, Pegawai-pegawai Kanan PDRM serta penceramah-penceramah jemputan.


Bergambar kenangan.
Bergambar kenangan.

Sekitar Seminar Pegawai Psikologi PDRM Se-Malaysia Tahun 2018.
Sekitar Seminar Pegawai Psikologi PDRM Se-Malaysia Tahun 2018.

Bergambar kenangan..
Bergambar kenangan..
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS