Berita

OP SELAMAT 13 AIDILFITRI: RUMAH SELAMAT, SELAMAT SAMPAI KE DESTINASI

OP SELAMAT 13 AIDILFITRI: RUMAH SELAMAT, SELAMAT SAMPAI KE DESTINASI

 Kuala Lumpur, 7 Jun 2018 – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Op Selamat 13 bersempena Hari Raya Aidilfitri 2018 di Menara Telekom Malaysia (TM), Bangsar, dekat sini, pagi tadi.

 Dengan mengekalkan tema Op Selamat dari tahun 2012, 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi', operasi ini berfokus kepada mencegah kejadian jenayah pecah rumah dan meminimumkan kadar kemalangan jalan raya ketika musim perayaan dengan melibatkan kesemua elemen PDRM di seluruh negara.

 Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapan perasmiannya menyeru orang ramai supaya memaklumkan perancangan cuti perayaan dengan menggunakan aplikasi terbaharu iaitu ‘Volunteer Smartphone Patrol’ (VSP) selain memuat turun ‘Borang Maklumat Balik Kampung’ yang boleh diperolehi melalui Portal Rasmi PDRM (https://www.rmp.gov.my).

“Kemalangan jalan raya adalah sesuatu yang sukar diramalkan, terutamanya di musim perayaan kerana lalu lintas akan menjadi lebih sesak berbanding hari-hari biasa.

 "Orang ramai hendaklah berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kemalangan daripada berlaku," tegas beliau.

 "Berdasarkan analisis Op Selamat yang dilancarkan sebelum ini, sikap dan kecuaian pemandu merupakan punca utama berlakunya kemalangan," tambah beliau lagi.

 Dalam meningkatkan keberkesanan Op Selamat 13 kali ini, PDRM meneruskan jalinan kolaborasi dengan agensi-agensi lain melalui Emergency Response Team (ERT) yang terdiri daripada Syarikat Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) serta St. John Ambulance.

 Tan Sri Mohamad Fuzi turut melancarkan Aplikasi Mobil Sistem Semakan Online (SSO) yang dibangunkan oleh Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) PDRM bagi memperkasakan lagi keberkesanan pelaksanaan Op Selamat 13.

 "Aplikasi ini bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan atas talian bagi membolehkan orang awam membuat semakan dengan lebih pantas ke atas status repot polis, perkembangan siasatan polis, semakan saman serta semakan status pengambilan," ujar beliau lagi.

 Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Telekom Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahmob, Pengarah Eksekutif Syarikat ANIH Berhad, Dato’ Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, barisan pengarah PDRM, Ketua-ketua Polis Negeri dan rakan-rakan media.


0S4A8723
0S4A87000S7A0816
Sekitar pelancaran berlangsung.

0S4A8801
0S4A8807
0S7A0855
Sesi flag off Op Selamat 13 sempena Hari Raya Aidilfitri.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS