Berita

POLIS KECEWA IBU BAPA BIAR ANAK BAWAH UMUR TUNGGANG MOTOSIKAL

Alor Setar, 24 Jun 2018 – Polis Kedah kecewa dengan sikap ibu bapa yang membenarkan anak-anak di bawah umur menunggang motosikal sehingga menyumbang kepada peningkatan kemalangan maut dalam Op Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula pada 8 hingga 22 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat PolisKontinjen (IPK) Kedah, Supt Zahari Mohamed berkata berdasarkan statistikyang di perolehi, seramai 14 individu berusia bawah 20 tahun maut daripada 20 kes kemalangan yang membabitkan penunggang motosikal.

“Daripada 30 kes kemalangan yang dicatatkan, seramai 36 kematian membabitkan juga empat pembonceng motosikal, lapan pemandu dan penumpang kereta dan empat pejalan kaki.

“Dalam hal in saya kecewa dengan sikap ibu bapa membiarkan anak mereka tanpa lesen menunggang motosikal tanpa memikirkan padah yang akan menimpa pada anak mereka dan mungkin pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di IPK Kedah di sini, hari ini.

Katanya, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap ibu bapa mengikut Seksyen 39 (5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, sebanyak 28 kes pecah rumah turut dicatatkan sepanjang 15 hari Ops Selamat dimana sembilan kes dicatatkan di Kota Setar, Kubang Pasu dengan lima kes, Kuala Muda dan Kulim masing-masing empat kes, Baling dengan tiga kes, manakala Pendang, Padang Terap dan Sik dengan satu kes.

“Kita nak tekankan bahawa 28 kes pecah rumah ini membabitkan pemilik rumah yang tidak melaporkan kepada pihak polis berdekatan sebelum meninggalkan kediaman untuk pulang beraya di kampung walaupun berulang kali kita war-warkan perkara itu.

“Ini penting bagi membolehkan Unit Rondaan Bermotor (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV) meningkatkan kekerapan di kawasan berkenaan dalam usaha mencecah kejadian jenayah pecah rumah dan curi sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Katanya,dari tempoh Op Selamat, sebanyak 48 laporan balik kampung diterima pihaknya menerusi isi borang, aplikasi sistem ‘Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan talian ‘Hotline’ 999..

Daripada itu, sebanyak 2,945 rondaan telah dilakukan anggota dari unit URB dan MPV di beberapa daerah dan hasilnya terbukti berjaya apabila tiada sebuah premis dipecah masuk pihak penjenayah.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS