Berita

OP SELAMAT 13: FAKTOR TERBABAS SENDIRI PUNCA UTAMA KEMALANGAN MAUT

Kuala Lumpur, 28 Jun 2018 - Analisis Op Selamat yang dijalankan olehPolis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa faktor terbabas sendiri adalah punca utama kemalangan maut dalam kalangan pengguna jalan raya di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, faktor lain yang menjadi penyumbang utama kes kemalangan maut adalah memasuki laluan bertentangan, tidak sedar kenderaan lain keluar dan masuk simpang jalan, mengekori kenderaan hadapan terlalu rapat, membuat pusingan “U” dan melawan aliran trafik.

“Analisis menunjukkan bahawa, faktor terbabas sendiri punca utama kemalangan maut dengan catatan 142 kes,” katanya kepada pemberita sempena majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat di Bukit Aman di sini hari ini.

Sepanjang Op Selamat tahun ini yang bermula 8 hingga 22 Jun, lebih 22,000 kes kemalangan direkodkan dengan 248 kematian.

Beliau berkata, pertambahan jumlah kenderaan yang tidak sejajar dengan perluasan jaringan jalan raya di sepanjang 252,988.84 kilometer di seluruh negara turut menyumbang kepada musibah di jalan raya, ditambah jumlah aliran kenderaan secara mendadak pada musim perayaan meningkatkan lagi risiko kemalangan.

Tan Sri Mohamad Fuzi berkata, PDRM bersama-sama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), konsesi lebuh raya dan agensi berkaitan akan membuat satu “post mortem” untuk penambahbaik dan kelancaran trafik pada Op Selamat akan datang.

Dalam usaha memenuhi tema Op Selamat iaitu “Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi” beliau berkata, lebih 128,000 rondaan dijalankan ke atas rumah kediaman dan premis yang ditinggalkan.

“Ini mencakupi 60,500 rondaan MPV, lebih 21,000 rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan hampir 40,000 rondaan elemen balai dan 7,026 lain-lain rondaan.

Sebanyak 37,973 laporan balik kampung diterima sepanjang Op Selamat kali ini iaitu 27,176 laporan dengan mengisi borang balik kampung, laporan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (10,566) dan Hotline 999 (231).

Tan Sri Mohamad Fuzi juga berkata, walaupun taburan jenayah pecah rumah dan curi di seluruh negara meningkat kepada 731 kes berbanding 629 kes pada Op Selamat tahun lepas, polis dapat menangkap 426 suspek dan menyelesaikan 91 kes pecah rumah.

Selangor mencatat tangkapan tertinggi 104 suspek diikuti Sarawak (46) dan Perak (40). Bagi Op Selamat kali ini, Kontinjen Pulau Pinang diumumkan sebagai kontinjen terbaik manakala Ibu Pejabat Daerah Perai Utara sebagai daerah terbaik. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS