Berita

PDRM ATUR PENUGASAN RAPTAI DAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

Putrajaya, 27 Ogos 2018 - Bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengaturkan penugasan bermula pada raptai sambutan iaitu 26 Ogos hingga hari sambutan pada 31 Ogos.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seramai 186 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan pada fasa raptai manakala pada hari sambutan 1,165 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan tahap keselamatan dan lalu lintas berada pada tahap yang terbaik

Menurutnya, seramai 300,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya di sini pada Jumaat ini.

"Lencongan dan penutupan jalan pada 26, 27, 28 dan 29 Ogos bagi raptai dan hari sambutan pada 31 Ogos dilaksanakan secara berperingkat bermula seawal 6 pagi hingga 12 tengah hari dan akan dibuka semula selepas selesai acara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jalan-jalan yang terlibat sepanjang tempoh itu ialah Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Saujana, Jalan Perpaduan, Jambatan Wawasan, Jalan T. A Rahman, Lebuh Wawasan, Lebuh Bestari, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Lebuh Setia, katanya.

Menurutnya, terdapat kira-kira 6,000 lot parkir awam dan bas ‘shuttle’ disediakan bagi memudahkan orang ramai ke lokasi sambutan.

Mazlan menasihatkan orang ramai menggunakan jalan alternatif dan mengelak daripada menggunakan jalan-jalan yang terlibat dengan penutupan atau lencongan semasa tempoh raptai dan sambutan.

Orang ramai turut dinasihatkan merancang perjalanan pada hari-hari yang terlibat, menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan pegawai atau anggota polis bertugas, katanya.

"Dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan terutamanya di laluan yang terlibat dengan acara,” katanya, sambil menambah tindakan tunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya dan saman akan diambil kepada kenderaan yang terlibat.

"Sentiasa jaga keselamatan diri dan barang peribadi sewaktu berada di lokasi sambutan yang sesak dengan orang ramai bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti seluk saku dan jangan tinggalkan barangan berharga di dalam kenderaan selain memastikan kenderaan ditinggalkan dalam keadaan berkunci," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada IPD Putrajaya di talian 03-88862222 atau Trafik KL di talian 03-20719777.

-BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS