Berita

POLIS CARI PENYELESAIAN KUARTERS 'DISERANG' SEMUT CHARLIE

Kuantan, 29 September 2018 – Polis Pahang akan membuat pemeriksaan lanjut dan mencari penyelesaian berhubung ‘serangan’ semut Charlie yang menyebabkan dua kanak-ka­nak mengalami luka serta gatal dalam kejadian di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Kesihatan dan beberapa langkah pencegahan dilaksanakan seperti melakukan semburan di persekitaran kuarters berkenaan.

“Semburan telah dibuat dan kini pemeriksaan lanjut sedang dilakukan bagi mengelak lebih ramai menjadi mang­sa. Keadaan terkawal.

“Kita juga akan menjalankan siasatan bagaimana semut berkenaan boleh didapati di situ dan dari mana ia datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fun Run/Ride 2018 di Taman Kerang di sini hari ini.

Terdahulu, akhbar me­la­porkan dua kanak-kanak menjadi mangsa ‘serangan’ semut Charlie yang dipercayai terbang dari kawasan hutan berhampiran perumahan IPD Pekan dekat sini, Sabtu lalu.

Akibat ‘serangan’ itu dua kanak-kanak berkenaan, Adriella Angel Stenley, 2, dan Muhammad Iffat Iskandar Mohd. Babuddin yang berusia 11 bulan mengalami luka serta gatal-gatal di bahagian muka dan badan.

Gambar kanak-kanak itu iaitu Adriella Angel yang luka dan gatal di muka akibat digi­git semut itu turut tular dalam media sosial.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS