Berita

POLIS - JANGAN TIMBULKAN KEKECOHAN SABTU INI

Shah Alam, 24 Oktober 2018 - Polis memberi amaran kepada penonton perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini supaya tidak menimbulkan kekecohan serta membawa bahan terlarang seperti bahan letupan dan senjata api di dalam dan luar stadium.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, penyokong diingatkan supaya tidak membawa suar, batang besi atau kayu, pemetik api, payung, gulungan tisu dan botol air minuman bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata, pihaknya akan menempatkan seramai 2,172 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan secara menyeluruh di kawasan stadium itu selain 294 ‘personnel security’ dan 40 orang pegawai dan anggota bomba.

"Kita akan menjalankan tapisan rapi di 18 pintu masuk bagi mengelak penyokong membawa bahan terlarang termasuk memeriksa peniaga dan petugas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi tujuan yang sama.

"Polis menasihatkan semua penyokong supaya tidak menimbulkan huru hara sepanjang perlawanan berlangsung sebaliknya menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan membawa bahan terlarang sehingga mencetuskan kekecohan dan pergaduhan," katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak di sini, semalam.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pegawai Operasi MFL, Mohd. Shazli Shaik Mohd.

Baharudin juga menggalakkan penyokong dan penonton supaya hadir ke stadium lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas pada saat akhir sehingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, ini kerana, kira-kira 75,000 penyokong dan penonton kedua-dua pasukan dijangka menghadiri perlawanan itu dan kehadiran yang lebih awal turut dapat mengurangkan kesesakan di pintu-pintu masuk stadium.

"Penyokong Perak diminta masuk menggunakan Pintu A dan D manakala penyokong Terengganu di Pintu B dan C. Pintu stadium akan mula dibuka pada 4 petang.

"Laluan masuk juga dikhaskan kepada penonton wanita dan kanak-kanak selain kita akan memastikan tiada lagi penonton yang duduk di atas tangga sepanjang perlawanan," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shazli berkata, pihaknya menasihatkan hanya penyokong yang memiliki tiket hadir pada perlawanan bola sepak itu berikutan tiada tiket yang dijual di stadium berkenaan pada hari tersebut.

"Selain memperuntukkan sebanyak 30,750 tiket bagi setiap pasukan, kita kini menjual 10,500 tiket lagi menerusi atas talian. Tiada tiket dijual di Stadium Shah Alam kecuali hanya penebusan tiket," ujarnya. - KOSMO! ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS