Berita

KERANI KERUGIAN RM115,000 DI TIPU SINDIKET MACAU SCAM

Balik Pulau, 28 Oktober 2018 - Seorang kerani kerugian sebanyak RM115,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya dan mendakwa lelaki itu mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dengan sebuah bank.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan berkata lelaki berusia 55 tahun itu menerima panggilan telefon pukul 3.00 petang pada Isnin daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dari Mahkamah Kuantan serta memberitahu mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi sebanyak RM50,000.

"Kemudian mangsa telah disambungkan ke talian Balai Polis Kuantan dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Lau serta memberitahu kerani itu telah terlibat dengan penggubahan wang haram," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki yang mengaku polis itu mengarahkan mangsa memasukkan wang ke dalam dua akuan bank untuk siasatan polis serta pihak bank.

Katanya, mangsa yang takut dan panik mengikut arahan sindiket itu dan bertindak memindahkan duit sebanyak RM55,000 ke dalam satu akaun dan RM60,000 dalam akaun berasingan keesokkan hari (Selasa).

Anbalagan berkata mangsa sekali lagi dihubungi oleh lelaki yang menyamar sebagai polis itu dengan memberi jaminan semua wang kerani itu akan dikembalikan selepas kesnya selesai.

Katanya, lelaki itu hanya memberitahu anggota keluarganya selepas dia gagal menghubungi "sarjan Lau" untuk bertanya mengenai perkembangan kes berkenaan pada Khamis (25 Okt) sebelum membuat laporan polis.

"Anggota keluarganya memberitahu dia telah ditipu oleh sindiket Macau Scam dan mangsa yang berasal dari Sungai Nibong, dekat sini terus membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 402 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan polis sedang mengesan anggota sindiket Macau Scam berkenaan.

"Orang ramai dinasihatkan jangan melayan panggilan sedemikian dan mudah percaya jika ada panggilan daripada mahkamah kerana mahkamah tidak akan berurusan seperti itu. Sentiasa merujuk kepada polis jika menerima panggilan sedemikian bagi mengelak ditipu," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS