Berita

KES CULIK PALSU: POLIS NASIHATKAN ORANG RAMAI HENTIKAN BERITA TIDAK SAHIH

Jeli, 31 Oktober 2018 - Orang ramai dinasihatkan supaya berhenti menyebarkan berita yang tidak sahih bagi mengelak kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, berhubung isu penculikan kanak-kanak di kawasan Gemang yang tular,polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 24 Oktober lalu.

Menurutnya, berdasarkan percakapan individu yang berada di lokasi ketika kejadian, tidak ada sebarang keterangan sokongan yang membuktikan bahawa cubaan culik itu berlaku sebagaimana didakwa.

“Isu berkenaan lebih kepada viral yang ditokok tambah oleh individu-individu tidak bertanggungjawab tanpa sebarang bukti dan keterangan sahih.

"Sehingga hari ini belum ada lagi mangsa culik di daerah Jeli dan hanya satu laporan polis diterima setakat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan sentiasa bertindak atas setiap laporan serta maklumat yang disalurkan orang ramai.

"Setiap laporan yang kita terima diberi perhatian sewajarnya demi menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat," katanya.

Sumber: Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS