Berita

PERBARISAN TAMAT LATIHAN: 394 INSPEKTOR DAN SARJAN BAHARU LAFAZ IKRAR TAAT SETIA

Kuala Lumpur, 17 November 2018 – Seramai 248 Kadet Inspektor dan 146 Kadet Sarjan selesai melafaz ikrar taat setia dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor bilangan 2 Siri 1/2018 dan Kadet Sarjan bilangan 1 Siri 1/2018 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Majlis perbarisan yang penuh adat istiadat kepolisan itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dengan diiringi Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), DCP Dato’ Narenasagaran Thangaveloo.

Majlis yang bersejarah itu juga turut menyaksikan Inspektor Bernadette Thien Mui Ling dianugerahkan Pelatih Terbaik Keseluruhan PLAK bagi program Inspektor diikuti Inspektor Mohd Khairol Mohd Bakri sebagai Pelatih Terbaik Akademik, Inspektor Muhammad Ejaron Abdullah sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar (Lelaki) dan Inspektor Rozila Remali bagi kategori wanita.

Manakala kategori PLAK bagi Sarjan pula menyaksikan Pelatih Terbaik Keseluruhan disandang oleh Sarjan Nor Ashikin Zamri diikuti Pelatih Terbaik Akademik oleh Sarjan Mohamad Roseley Jarni dan Sarjan Mohd Saifullah Jaludin sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar.

Terdahulu, berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Mohamad Fuzi menyeru para pelapis  baharu seragam Sang Saka Biru untuk terus berpegang teguh dan menggengam erat sumpah setia berkhidmat kepada negara dan masyarakat dengan penuh keikhlasan.

“Kita perlu sentiasa bersedia untuk berkorban jiwa dan raga dengan penuh taat setia kepada Raja, masyarakat dan negara kerana itulah janji serta sumpah keramat yang telah kita lafazkan di bawah kibaran Panji Sang Saka Biru,” ujar beliau.

Yang turut hadir tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Sri Mohmad Salleh, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Sri Amar Singh Ishar Singh, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, SAC Dato' Azisman Alias, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Shamsudin Mat, para Pegawai Kanan PDRM, ahli-ahli keluarga peserta perbarisan tamat latihan dan rakan-rakan media.

Bagi pihak seluruh warga PDRM mengucapkan selamat datang ke dalam ‘keluarga besar’ pasukan dan selamat menjalankan tugas dan amanah kepada negara!

0S5A9527
Laungan lafaz Ikrar taat setia oleh 248 Kadet Inspektor dan 146 Kadet Sarjan di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor bilangan 2 Siri 1/2018 dan Kadet Sarjan bilangan 1 Siri 1/2018.

0R9A7274
Pemeriksaan baris oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.


0R9A7437
Sekitar perbarisan membuat lintas hormat dalam cepat jalan.

0R9A7578
Kadet Inspektor bilangan 2 Siri 1/2018 meraikan Tamat Latihan bersama keluarga.

0R9A7600
Kadet Inspektor bilangan 2 Siri 1/2018 meraikan Tamat Latihan bersama keluarga.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS