Berita

BALAI POLIS SELURUH NEGARA KEKURANGAN ANGGOTA

Iskandar Puteri, 21 November 2018 - Lebih 500 daripada 791 Balai Polis di seluruh negara ketika ini berdepan masalah kekurangan anggota dan isu berkaitan perjawatan.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Asri Yusoff, berkata kekurangan anggota dan jawatan itu tidak selari dengan model kepolisan moden yang memerlukan minimum 35 anggota ditempatkan di setiap balai.

“Mengikut model kepolisan moden, setiap balai perlu mempunyai 35 anggota termasuk menjaga balai, menerima panggilan, lokap dan rondaan.

“Model kepolisan juga menetapkan sekurang-kurangnya jawatan KetuaPolis Balai (OCS) berpangkat Deputi Superintendan (DSP) dan bukannya Sarjan mahupun Sub Inspektor,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Tanjung Kupang, Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd; Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.

Sehubungan itu, Asri berkata, beliau akan membawa isu pangkat ketua balaipolis yang rendah itu kepada kerajaan untuk makluman meskipun kajian konsep baharu itu sudah diperkenalkan sebelum ini.

“Zaman sekarang tidak boleh Ketua Balai di bawah kategori anggota berpangkat rendah dan ia tidak selaras dengan model kepolisan moden yang dilaksanakan menerusi kajian pada tahun 2015.

“Model ini perlu datang dengan perjawatan, selain membabitkan struktur, pemikiran dan struktur baru. Barulah penyampaian model kepolisan moden dapat dilaksanakan,” katanya.

Menyentuh mengenai model kepolisan moden, beliau menjelaskan kajian model itu dilaksanakan sepenuhnya di dua balai polis iaitu Balai Polis Tun Dr Ismail (TTDI) dan Brickfields.

“Bagaimanapun pelaksanaannya 100 peratus membabitkan perjawatan, selain lain-lain balai menumpukan kepada penggunaan teknologi,” katanya.

Sumber : Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS