Berita

POLIS RAMPAS 2.5 TAN KETUM BERNILAI RM75,000

KOTA BHARU - Kegiatan dua lelaki termasuk seorang remaja yang mengambil upah RM3,000 untuk membawa daun ketum seberat 2.5 tan dari Kedah ke Pasir Puteh terbongkar selepas satu ikat daun berkenaan terjatuh ke atas jalan di Kampung Batu Hitam, Tanah Merah, dekat sini Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang, ikatan kecil daun ketum itu kemudiannya ditemui oleh dua anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah yang sedang melakukan tugas-tugas penguatkuasaan di Jalan Kota Bharu - Machang - Jeli.

Dua anggota berkenaan kemudian melihat sebuah lori tiga tan jenis Isuzu yang dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka memanggil bantuan untuk menahan kenderaan tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, menyedari kehadiran pihak polis pemandu lori berkenaan memecutkan kenderaannya sehingga polis terpaksa mengejar mereka sejauh dua kilometer sebelum berjaya ditahan.

"Polis menahan pemandu lori berusia 34 tahun manakala kelindannya merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun. Hasil pemeriksaan ke dalam lori berkenaan kita menemui 120 bungkusan hitam mengandungi daun ketum seberat 2.5 tan.

"Nilai keseluruhan rampasan daun ketum ialah kira-kira RM75,000 dengan sekilogram dijual RM30. Lori tiga tan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sumber Berita - Kosmo

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS