Berita

BANTU TUMPAS KES SELUDUP 500KG DADAH, TIGA HERO PDRM TERIMA SIJIL PENGHARGAAN

Kuala Lumpur, 16 Januari 2019 – Tiga anggota polis iaitu Koperal Sashi Kumar Elengovan, Koperal Ahmad Rafee Razali dan Koperal Ashraf Khaiyum Maridzuan dari Unit Rondaan (MPV) Lebuhraya Zon Utara, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Perak telah menerima sijil penghargaan di atas kejayaan membantu operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mematahkan sindiket penyeludupan 500 kilogram (kg) dadah jenis Syabu yang ditemui di dalam sebuah lori kontena di Hentian Taiping, Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara, pada 12 Januari 2019 yang lalu.

Sijil Penghargaan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman yang diadakan di perkarangan Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, pagi tadi.

Tan Sri Mohamad Fuzi dalam ucapannya berkata, tahun 2018 telah melakarkan beberapa siri kejayaan PDRM antaranya adalah penurunan kes jenayah indeks yang dilaporkan sebanyak 88,662 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 100,611 kes .

“Lebih membanggakan, semua negeri di Malaysia turut mencatat penurunan kes mengikut nilai ambang yang ditetapkan bagi tahun 2018,”ujarnya.

“PDRM sentiasa komited dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dengan mewujudkan pelbagai jaringan kerjasama strategik bersama masyarakat menerusi pelbagai program di bawah inisiatif JPJKK,” tambahnya lagi.

Perhimpunan anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman pada hari ini juga turut menyaksikan seramai 47 penerima telah dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) dan 39 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima surat penghargaan sebagai tanda apresiasi di atas kecemerlangan dalam penugasan masing-masing.

Turut hadir, Pengarah JPJKK, CP Dato’ Sri Rosli AB Rahman, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), CP Dato' Zamri Yahya, pegawai-pegawai kanan PDRM serta wakil-wakil media.

Image may contain: 4 people
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun memeriksa perbarisan Kawalan Kehormatan.

Image may contain: 3 people, people smiling, people standing and outdoor
Sekitar Majlis Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat Bukit Aman berlangsung.

Image may contain: 3 people, outdoor

Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menyematkan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada penerima.

Image may contain: 3 people
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima.

Image may contain: one or more people, people standing, crowd and outdoor
Bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS