Berita

OP MULE ACCOUNT: 145 PEMILIK AKAUN BANK DITAHAN

OP MULE ACCOUNT: 145 PEMILIK AKAUN BANK DITAHAN

Kuala Lumpur, 18 Januari 2019 – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menerusi Op Mule Account yang dijalankan secara besar-besaran di seluruh negara tahun lalu, telah berjaya menahan 145 pemilik akaun bank yang disyaki sebagai keldai akaun.

Pemangku Pengarah JSJK, DCP Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kedua-dua fasa operasi yang dijalankan pada 1 Mac dan 10 Disember 2018 itu telah menangkap 90 lelaki dan 55 wanita yang berusia lingkungan 19 hingga 63 tahun.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, antara ciri-ciri individu yang disasarkan sebagai keldai akaun adalah mereka yang sedang mencari pekerjaan, penagih dadah, golongan yang tiada pekerjaan tetap atau tidak bekerja dan orang kurang upaya,” jelas beliau dalam sidang media yang diadakan di Menara KPJ, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ujar DCP Datuk Saiful lagi, beberapa alasan tahanan terjebak sebagai keldai akaun adalah pernah membuat pinjaman dengan Ah Long, berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui laman sosial, urus niaga dalam talian, kehilangan dompet yang mempunyai maklumat bank, terbabit urus niaga sewa kad ATM dan diperdaya sindiket.

“Sebagai satu daripada inisiatif bagi menangani kes jenayah komersil, JSJK telah membangunkan satu portal yang boleh dicapai melalui pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi membolehkan masyarakat membuat semakan ke atas akaun bank dan nombor telefon yang mempunyai rekod laporan polis sebelum membuat sebarang transaksi.

“Hasil usaha berterusan pihak polis, jenayah siber dan pinjaman tidak wujud telah mencatatkan penurunan sebanyak 2,128 kes (15,007) berbanding 17,135 kes yang dilaporkan pada tahun sebelumnya. Namun begitu, kerugian yang dicatatkan telah meningkat kepada RM437.2juta berbanding RM259.4juta yang direkodkan pada tahun 2017,” terang beliau lagi.

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat urusan dengan mana-mana individu, institusi kewangan atau agensi peminjam wang dan tidak semudahnya memberikan maklumat akaun bank tanpa mengetahui tujuan sebenar penggunaan akaun tersebut.

1b
1a
Pemangku Pengarah JSJK, DCP Datuk Saiful Azly Kamaruddin mengendalikan sidang media.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS