Berita

POLIS SELAMATKAN WARGA EMAS SESAT BERJALAN KAKI SEJAUH 10KM CARI ANAK

Kota Marudu, 6 Februari 2019 - Seorang wanita warga emas dipercayai tersesat ditemui dalam keadaan keletihan selepas berjalan sejauh 10 kilometer (km) di Jalan Kota Marudu-Langkon, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, wanita berusia 80 tahun terbabit diselamatkan anggota trafik sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata wanita itu ditemui anggota polis trafik ketika menjalankan Op Selamat 14/2019 sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Wanita itu ditemui ketika duduk di tepi jalan raya dan selepas ditemubual, dia memberitahu berjalan untuk ke Kampung Bengkongan bagi menemui seorang anaknya.

“Anggota polis trafik bertanya dengan penduduk di sepanjang Jalan Kota Marudu-Langkon untuk mengenal pasti ahli keluarganya sebelum menemui cucunya di Kampung Langkon Baru,” katanya.

Sementara itu, lelaki mahu dikenali sebagai Ajat, 29, yang juga anak saudara warga emas itu berkata, ibu saudaranya keluar dari rumah di Kampung Ranau dan berjalan sejauh 10 km tanpa disedari ahli keluarga.

“Dia baru keluar dari Hospital Kota Marudu hujung bulan lalu selepas menjalani rawatan disebabkan sakit tua.

“Ingatannya kurang baik dan mujurlah polis trafik membantunya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sumber : Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS