Berita

LAWATAN ULUNG MDN KE BATALION 4 PGA SEMENYIH

Kajang, 12 Februari 2019 – Menteri Dalam Negeri (MDN), Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin membuat lawatan kerja ulungnya ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih, dekat sini, pagi tadi.

Ketibaan beliau bersama delegasi dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) disambut oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dan Komander Briged Tengah PGA, SAC Haji Abdul Ghani Mohamad Ji.

Berucap di hadapan kira-kira 2,500 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir dalam majlis tersebut, Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan komitmen KDN untuk memastikan kebajikan warga PDRM akan terus terpelihara. 

"Sukacita saya umumkan, pihak kerajaan telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM300,000 bagi tujuan membaik pulih infrastruktur dan aset di Batalion 4, PGA Semenyih ini," ujar beliau sambil mendapat tepukan gemuruh jemputan yang hadir.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin turut menerima tabik hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama Batalion 4 PGA yang terdiri daripada 105 pegawai dan anggota di bawah pimpinan Pegawai Pemerintah Baris, DSP Mohd Khairi Hashim. 

Dalam perkembangan lain pula, Tan Sri Noor Rashid ketika mengulas berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac nanti berkata, PDRM telah mempersiapkan seramai 1,115 pegawai dan anggota untuk memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang gangguan.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Setiausaha KDN, Dato’ Seri Alwi Haji Ibrahim, barisan pengarah PDRM, para pegawai KDN, ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) dan rakan-rakan media.

Image may contain: 5 people, suit
Menteri Dalam Negeri (MDN), Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin mengadakan lawatan sulung ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih.

Image may contain: 3 people, people sitting
Sekitar Lawatan Menteri Dalam Negeri (MDN), Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih.

Image may contain: 2 people, people standing and outdoor
Menteri Dalam Negeri (MDN), Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan.

Image may contain: 8 people, people standing
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan.

Image may contain: 10 people, people smiling
Sesi sidang media.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS