Berita

OP SELAMAT 14: KES KEMALANGAN MAUT CATATKAN PENURUNAN

Petaling Jaya, 15 Februari 2019 – Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina yang berakhir pada 12 Februari lalu, telah menunjukkan penurunan sebanyak 5.2 peratus atau 197 kes kemalangan maut direkodkan berbanding 208 kes pada tahun lalu.

Penunggang dan pembonceng motosikal, masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut apabila mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 139 kes.

Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kes kemalangan jalan raya juga mencatatkan penurunan sebanyak 212 kes berbanding tahun lalu.

Jelas beliau, faktor utama penurunan kes kemalangan adalah kerana kesedaran di kalangan pengguna jalan raya yang semakin meningkat dan operasi berterusan serta kerjasama daripada agensi-agensi lain yang terlibat.

"Op Selamat 14 juga merekodkan penurunan bagi jumlah pengeluaran saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 360,738 saman berbanding 385,547 saman pada Op Selamat 12 yang lalu,” ujar beliau dalam Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 14 Tahun Baharu Cina 2019 di Persada PLUS, dekat sini, pagi tadi.

Dalam majlis tersebut, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik keseluruhan bagi Op Selamat kali ini, diikuti IPK Kedah di tempat kedua dan IPK Sabah di tempat ketiga.

Manakala bagi Anugerah Daerah Terbaik Op Selamat 14 pula, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor mengungguli tempat pertama diikuti IPD Alor Gajah, Melaka di tempat kedua dan IPD Yan, Kedah di tempat ketiga.

Tan Sri Noor Rashid juga telah menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada barisan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah yang hadir.

Antara yang hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, DCP Dato’ Azisman Alias barisan Pengarah PDRM, para pegawai kanan dan rakan-rakan media.


Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada penerima


Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim bergambar kenangan bersama Kontinjen & Daerah Terbaik Op Selamat 14.
Nyanyian lagu Negaraku.


Ucapan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS