Berita

KENANG JASA DAN BAKTI, PDRM RAI 109 PESARA PERINGKAT BUKIT AMAN

Kuala Lumpur, 1 Mac 2019 – Biarpun secara rasmi tidak lagi berkhidmat di dalam pasukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap meraikan 109 pesara warga Bukit Aman dalam satu majlis penuh gilang gemilang, sebagai tanda penghargaan dan penghormatan di atas segala sumbang bakti yang telah dicurahkan.

Majlis Meraikan Pesara PDRM Peringkat Bukit Aman Tahun 2018 anjuran Bahagian Urusetia/Hal Ehwal Pesara Polis, Jabatan Pengurusan PDRM tersebut telah diadakan di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, malam tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya berkata, kehadiran para pesara telah membuktikan, semangat Panji Sang Saka Biru masih menebal dalam diri mereka biarpun telah menjalani persaraan wajib.

“Semoga semangat kecintaan kepada pasukan terus kekal tersemat dalam sanubari setiap para pesara hingga ke akhir hayat,” tambah beliau.

Beliau turut menyentuh mengenai Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang telah diwujudkan bagi memelihara hal ehwal kebajikan para pesara dan bekas polis. 

Jelas beliau, sepanjang tahun 2018, sumbangan sebanyak RM1.3 juta telah diserahkan kepada 1,340 pesara dan bekas polis melibatkan bantuan khairat kematian, perubatan, bantuan pergerakan, pendidikan dan bencana alam.

Kemuncak majlis, Tan Sri Mohamad Fuzi turut menyampaikan cenderahati berupa Sijil Penghargaan, Surat Perkhidmatan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM400 setiap orang.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim, Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Tuan Ramli Dato' Mohd Nor, bekas Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Asri Yusoff dan Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Shamsudin Mat.

Image may contain: one or more people and indoor
Sesi bergambar kenangan.

Image may contain: 1 person, stripes
Ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

Image may contain: 2 people, people smiling, people standing
Bekas Pengarah Pengurusan PDRM, Dato’ Sri Asri Yusoff mendahului penerima Sijil Penghargaan yang disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

Image may contain: one or more people and people standing
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menyampaikan cenderahati berupa Sijil Penghargaan, Surat Perkhidmatan dan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM400 setiap orang.

Image may contain: 2 people, people sitting and indoor
ASP Rahim Othman dari Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) dan ASP Aimi Liana dari Jabatan Pengurusan selaku pasangan pengacara Majlis Meraikan Pesara PDRM Peringkat Bukit Aman Tahun 2018.



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS