Berita

SINERGI PDRM, GRAB MALAYSIA MANTAPKAN KEBERKESANAN NUR ALERT

Petaling Jaya, 1 Mac 2019 – Syarikat Grab Malaysia secara rasmi menjadi satu daripada 39 ahli pasukan petugas NUR (National Urgent Response) Alert dalam usaha kerajaan memantapkan keberkesanan penyampaian hebahan maklumat berkenaan kanak-kanak hilang.

Simbolik kolaborasi di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan syarikat penyedia e-hailing tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Hannah Yeoh dalam Majlis Pelancaran Kerjasama Grab-NUR Alert di One First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, Bukit Aman, DCP Dato’ Salehhudin Abd Rahman dalam ucapan perasmian berkata, penyertaan Syarikat Grab melalui aplikasi yang disediakan mampu meningkatkan peluang kanak-kanak yang dilaporkan hilang, ditemui dengan selamat. 

"Lebih 100,000 pemandu Grab di seluruh Malaysia akan menerima hebahan berkenaan secara pantas dan meluas melalui ‘targeted notification-mobile phone’ di telefon pintar masing-masing.

"Hebahan tersebut akan dikongsi dengan rakan pemandu yang lain serta masyarakat umum, sekaligus membantu menyalurkan maklumat yang dikehendaki secara terus kepada pihak polis," ujar beliau lagi. 

Secara teknikalnya, maklumat kehilangan kanak-kanak di bawah 12 tahun akan diaktifkan melalui Sistem NUR Alert di mana, Bahagian D11, JSJ Bukit Aman sebagai agensi utama akan menerima dan menyalurkan maklumat tersebut kepada semua ahli pasukan melalui emel.

Sejak PDRM mengambil alih Sistem Nur Alert pada tahun 2011, ia telah mengendalikan sebanyak 37 kes kanak-kanak hilang, iaitu seramai 29 kanak-kanak ditemui selamat manakala lapan lagi masih belum diketahui.

Majlis pada hari ini turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah (D11) JSJ, Bukit Aman, ACP Choo Lily, Pengerusi Grab Malaysia, Encik Goh Su Sean, para pegawai kanan PDRM, barisan wakil-wakil kementerian, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta rakan media.

Image may contain: 5 people, people smiling, people standing
Simbolik kolaborasi di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan Syarikat Grab Malaysia.

Image may contain: one or more people and indoor
Sekitar Majlis Pelancaran Kerjasama Grab-NUR Alert berlangsung.

Image may contain: 1 person, standing
Ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Hannah Yeoh dalam Majlis Pelancaran Kerjasama Grab-NUR Alert.

Image may contain: 4 people, people sitting, table and indoor
Sekitar sidang media berlangsung.

Image may contain: 2 people, people smiling, text
Sekitar Majlis Pelancaran Kerjasama Grab-NUR Alert berlangsung.
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS