Berita

PERSARAAN TAN SRI NOOR RASHID SATU KEHILANGAN BESAR BUAT PDRM - KPN

Serdang, 16 Mac 2019 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) kehilangan sebutir lagi bintang yang khidmat dan baktinya pernah tercoret pada kanvas hala tuju agensi ‘Sang Saka Biru’.

Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara secara rasminya esok dari PDRM, telah pun menyerahkan tugasnya kepada pemangku Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador, Jumaat lepas.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sekalipun Tan Sri Noor Rashid akan meninggalkan pasukan, namun aura sepanjang perkhidmatannya tidak akan dilupakan.

Katanya, selama 35 tahun tempoh perkhidmatan beliau, terlalu banyak jasa yang telah disumbangkan kepada PDRM demi agama, bangsa dan tanah air.

“He has been a role model of firmness, thoughtfulness and integrity in all his years of service.

“PDRM amat beruntung mempunyai seorang pemimpin yang berkarisma, berwibawa dan sentiasa berfikiran jauh ke hadapan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis “Dining Out” Timbalan Ketua Polis Negara di Hotel Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan, dekat sini, malam tadi.

Majlis makan malam yang diadakan mengikut adat istiadat kepolisan itu bertemakan “You’re The Second To None” sebagai penghargaan tertinggi PDRM buat Tan Sri Noor Rashid selaku bekas individu nombor dua dalam pasukan.

Sementara itu, Tan Sri Noor Rashid dalam ucapan balasnya berkata, beliau begitu bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik dan kudrat sehingga ke penghujung perkhidmatannya.

“Anugerah Allah SWT ini, adalah peluang paling bernilai untuk saya ‘catch up on the lost time’ bersama isteri tercinta, anak-anak yang dikasihi serta melayan kerenah cucu tersayang, yang semakin membesar,” ujar beliau.

Terdahulu, majlis yang berlangsung meriah tersebut turut menampilkan persembahan khas oleh artis terkemuka tanah air Dato' Jamaluddin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet dan warga PDRM sendiri.

Yang turut hadir, bekas Pemangku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor, barisan Pengarah PDRM dan isteri, Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis, DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan isteri, Datin Fatimah Haji Moyedden serta para pegawai kanan PDRM.

Image may contain: 8 people, people smiling
Sekitar Majlis “Dining Out” Timbalan Ketua Polis Negara berlangsung.

Image may contain: 1 person, standing and suit
Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim berduet bersama Nash.

Image may contain: 2 people, people smiling
Penyampaian cenderahati kepada Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Image may contain: 4 people, people smiling, crowd
Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim dan isteri bersalaman dengan tetamu yang hadir sebelum meninggalkan majlis.

Image may contain: 8 people
Sesi bergambar kenangan.

 


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS