Berita

TIMBALAN KPN BERSARA SELEPAS HAMPIR 35 TAHUN BERSAMA PDRM

“Tidak tergambar dengan kata-kata, betapa beratnya hati ini untuk melangkah keluar dari Pasukan yang saya cintai ini,” kata Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim.

Tan Sri Noor Rashid, 61, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan ‘ibu dan bapa’ yang banyak mendidik, mendisiplinkan diri serta memberi pengalaman yang amat berharga buat dirinya selepas berkhidmat 35 tahun dalam pasukan beruniform itu.

“Selama hampir empat dekad, saya telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga untuk pasukan dengan KESETIAAN yang tidak berbelah bahagi. Semangat Sang Saka Biru juga telah sebati dengan darah yang mengalir dalam tubuh saya ini,” tambahnya lagi.

“Percayalah, biarpun selepas ini kelibat saya tidak lagi bersama Pasukan, namun saya akan terus menyokong dan mempertahankan setiap perjuangan PDRM serta berbakti kepada negara, masyarakat, dengan cara saya sendiri,” ujar beliau dalam Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dan Pengarah Cawangan Khas merangkap Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

Ketika ditanya, apakah kenangan yang akan diingatinya selepas ini?

“Dapat berkhidmat kepada pasukan. PDRM jugalah tempat saya merubah nasib dan memberi peluang menjadi apa yang telah kecapi pada hari ini. Sesungguhnya, saya dan keluarga amat bersyukur di atas kurniaan serta rezeki yang diberikan oleh Allah SWT,” jawab anak jati negeri Kedah itu dengan senyuman yang manis di bibir.

Menyingkap kembali kerjaya siswazah dalam bidang Sains Fizik dari Universiti Malaya (UM) ini, Tan Sri Noor Rashid mula menyertai PDRM pada 8 Januari 1984 sebagai seorang Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah diamanahkan beberapa jawatan penting dalam pasukan antaranya Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang pada tahun 1994, Timbalan Pengarah III Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada tahun 2004 dan Timbalan Pengarah II Jabatan Logistik (kini Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi) Bukit Aman pada tahun 2006.

Karier beliau terus bersinar dalam pasukan apabila kemudiannya berpindah ke Kontinjen Sabah sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis pada tahun 2007 dan dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis di negeri ‘di bawah bayu’ itu pada tahun yang sama sehingga tahun 2010.

Bakat kepimpinan beliau sungguh menyerlah kerana sikapnya yang terkenal sebagai seorang yang amat berterus-terang dan jujur ketika bertugas.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Pengarah JSJN pada tahun 2010 sebelum diberi mandat dan kepercayaan oleh Kerajaan Malaysia dan PDRM untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Disember 2014 lalu.

Atas sumbangan dan khidmat cemerlangnya kepada negara dan pasukan, beliau telah dikurniakan pelbagai bintang dan darjah kebesaran.

Antaranya adalah anugerah bintang tertinggi, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran ‘Dato’ Sri’ daripada Sultan Pahang pada 2 Oktober 2014. Pada 4 Jun 2016 pula, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Persekutuan Panglima Setia Mahkota (PSM) oleh Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah bersempena Ulang Tahun Keputeraan baginda yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Hari ini, di usia 61 tahun, Tan Sri Noor Rashid akan menamatkan perkhidmatannya yang panjang dalam dunia kepolisan. Hanya sikap keprihatinan dan sayang beliau terhadap pasukan tidak pernah luntur ditelan masa di mamah usia.

Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di antara Tan Sri Noor Rashid dengan pemangku jawatan tersebut, Dato’ Seri Abdul Hamid berlangsung dengan penuh istiadat kepolisan di Dewan Tan Sri Khalid sambil disaksikan Tan Sri Mohamad Fuzi sendiri.

Turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di antara penyandangnya, Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor dengan suri kepada Dato’ Seri Abdul Hamid iaitu Datin Seri Norazrin Marzuki.

Manakala di sebelah petang nanti, bakal disusuli Majlis Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur Khas buat Tan Sri Noor Rashid sebagai penghargaan pasukan buat individu yang paling dihormati dan dikasihi itu.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Majlis, CP Dato’ Abd Rahim Jaafar dan isteri, barisan Pengarah PDRM dan isteri, ahli-ahli PERKEP, warga PDRM serta rakan-rakan media.

Ibarat air yang mengalir, sampai di sini kenangan terindah pasti terukir. Bagi pihak seluruh warga PDRM, kami mengucapkan selamat bersara buat DIG Tan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim!

Image may contain: 4 people, people smilingTan Sri Dato’ Sri Noor Rashid Ibrahim bersama Puan Sri Datin Sri Shahriza Saad @ Mansor menaiki kenderaan Istiadat ke Balai Pengawal PULAPOL KL.

Image may contain: 6 people, people standingTan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim menerima Hormat Panglima oleh Kawalan Kehormatan dan Pancaragam Pusat PDRM.

Image may contain: 5 people, people standing Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim bersalaman dengan CP Dato' Seri Abdul Hamid Bador.

Image may contain: 3 people, people smiling, people standing and indoor Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri Dato' Sri Noor Rashid Ibrahim menandatangani buku pelawat.

Image may contain: 3 people, people smilingSekitar Serah Terima Tugas Jawatan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia.

Image may contain: 6 people
Bergambar kenangan.

Image may contain: 8 people Bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS