Berita

SAMBUTAN HARI POLIS KE-212: AHLI PERSIDANGAN DISERU BERI KHIDMAT TERBAIK KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA


Cheras, 21 Mac 2019 - Setiap lapisan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan agar mencintai dengan ikhlas kerjaya yang diceburi supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara dan masyarakat.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pangkat dan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap warga pasukan itu merupakan amanah dari Allah S.W.T. di mana ianya tidak boleh dikhianati.

Tambah beliau, sikap saling bekerjasama dan bantu membantu ketika melaksanakan tugas juga perlu dipergiatkan lagi bagi menyemai semangat esprit de corps dan kerja berpasukan.

“Walau apapun cabaran serta dugaan mendatang, kita akan terus kuat dan tidak akan goyah jika bersama. Sematlah sumpah taat setia kepada agama, bangsa, negara dan pasukan.

“Ingatlah bahawa amanah yang digendong ini, akan dihisab dan ditimbang tara di Hari Perhitungan kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 60 pegawai kanan polis dalam Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander dan Komandan PDRM bilangan 1/2019 yang berlangsung di Maktab PDRM Kuala Lumpur, dekat sini, pagi tadi.

Persidangan tahunan itu diadakan bersempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-212 Tahun 2019 yang bakal disambut serentak di seluruh kontinjen dan formasi PDRM pada 25 Mac depan.

Turut diadakan dalam persidangan tadi adalah Majlis Pelancaran Lencana dan Handbook Panduan Perundangan PDRM sebagai sumber rujukan ringkas yang dapat dimanfaatkan oleh warga PDRM, para pelajar jurusan perundangan serta pengamal undang-undang di dalam negara.

Terdahulu, Tan Sri Mohamad Fuzi yang diiringi Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Seri Abdul Hamid Bador turut berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia ke-47 yang dipengerusikan oleh Pemangku Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Seri Nor Azrin Marzuki di Dewan Ketua Polis Negara, Maktab PDRM, Kuala Lumpur.

Yang turut hadir, barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis Negeri , Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan serta para urusetia persidangan.

0R9A0956Bergambar kenangan.

_MG_9097
Bergambar kenangan.

_MG_9105
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun menandatangani buku pelawat.

_MG_9157
Sekitar majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia ke-47.

0R9A1127
Sekitar Majlis Pelancaran Lencana dan Handbook Panduan Perundangan PDRM.

0R9A1051
Sekitar Persidangan PJP/KP/Komander dan Komandan Bilangan 1/2019 yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun.

_MG_9282
Sekitar Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia ke-47 yang dipengerusikan oleh Pemangku Naib Pengerusi PERKEP Malaysia.



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS