Berita

PENGALAMAN LALU JADIKAN SAYA SIAPA HARI INI - KPN

Kuala Lumpur, 28 Mac 2019 - Pengalaman dibaling fail kes dan kertas siasatan ke muka ketika di awal penglibatan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi pengajaran berguna buat Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Pengalaman itu dikongsi orang nombor satu dalam PDRM dalam satu sesi temu bual khas sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 baru-baru ini.

Menurutnya, peristiwa itu amat berharga dan membuatkan beliau berubah secara drastik dan menjadi seorang pegawai yang lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas.

“Saya tidak boleh lupa sekali masa jadi pegawai penyiasat di Taiping, Perak kertas siasatan itu 'not up to the mark', kedua ia lambat, sebagai pegawai muda saya dibaling IP (kertas siasatan) oleh ketua. Kemudian pengalaman dibaling case fail (fail kes)...di peringkat awal kita tidak begitu mahir.

“Memang tidak tidur dua tiga hari tetapi tugas perlu dilaksana. Mungkin kalau tidak ditegur ketua, saya akan terbawa-bawa dengan sikap tidak begitu positif...mungkin kerana (teguran) mereka saya dapat jadi IGP (Ketua Polis Negara) ketika ini,” katanya yang menyertai PDRM sebagai kadet ASP pada 1984.

Selepas 35 tahun bersama pasukan polis, Mohamad Fuzi turut berkongsi beliau tidak terlepas daripada terpalit dengan isu salah guna kuasa dan rasuah.

“Kadang-kadang saya pun ditohmah macam-macam, mengutip sana mengutip sini padahal kita tidak pernah terfikir pun berbuat demikian. Kalau ada bukti 'they have to proof it' (mereka perlu membuktikannya). Kalau kita bekerja kerana Allah, Allah akan lindungi,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan beliau akan mendirikan rumah tangga seperti yang dilaporkan media, bekas Pengarah Cawangan Khas itu berkata beliau hanya bergurau.

"Tak ada...'actually I am joking' (sebenarnya saya bergurau), saya ini tiap-tiap hari ada orang hantar surat minang dan sebagainya. Saya suruh pegawai saya baca,” jelasnya.

Dalam temu bual itu juga Mohamad Fuzi turut berkongsi kisah duka apabila kehilangan insan tersayang dalam hidupnya.

"I lost my son, I have one son (saya kehilangan anak lelaki, saya ada seorang anak lelaki). Itu amat menyedihkan tapi kehendak Allah, dua minggu selepas saya dilantik sebagai Ketua Polis Negara isteri (Allahyarham Puan Sri Azizah Hamdi) masuk ICU (Unit Rawatan Rapi) hampir empat bulan sebelum meninggal. Saya rasa sedih, 'I have been struggling with my wife' (saya bersama isteri saya) semasa susah dan senang," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas bersara, Mohamad Fuzi berkata beliau akan mengaktifkan diri dengan sukan.

"Saya suka sukan, I will play golf (saya akan bermain golf). Saya kena jaga kesihatan. After I retire I'll go to UK (United Kingdom) to watch football (Selepas bersara saya akan ke UK untuk menonton bola sepak). Saya akan melawat beberapa tempat juga," kata peminat pasukan bola sepak Chelsea itu.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi yang bakal meninggalkan pasukan beruniform itu pada Mei ini turut menasihatkan anggota dan pegawai PDRM supaya sentiasa bersih dan bebas daripada isu integriti dan rasuah.

"Saya punya harapan sejak awal diminta terajui pasukan ingin membersihkan PDRM dengan isu rasuah ini, saya konsisten cakap benda ini dari dahulu.

"Saya rasa rezeki yang ada semua orang lebih pada cukup tapi 'how you manage the things' (bagaimana anda menguruskan perkara itu), kalau nafsu menguasai diri memang sukar, banyak mana pendapatan tidak akan cukup. Saya tidak mahu rasuah jadi budaya dalam pasukan," katanya. - BERNAMA
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS