Berita

APAC 2019: PERLENGKAP PDRM DENGAN TEKNOLOGI TERBAHARU TANGANI ANCAMAN JENAYAH

Putrajaya, 10 April 2019 - Teknologi baharu yang pantas berkembang telah memberi pelbagai kebaikan dan faedah kepada masyarakat. Namun demikian, ancaman jenayah dan keselamatan seperti jenayah kolar putih, pengganas, pemerdagangan manusia dan jenayah siber dilihat turut seiring dengan kemajuan tersebut.

Sebagai usaha kerajaan dalam memastikan aktiviti-aktiviti jenayah tersebut dapat dikekang dan dibanteras di peringkat akaar umbi, Persidangan dan Pameran Teknologi Polis (APAC) telah diadakan di Kuala Lumpur bagi memperlengkap dan memperkasakan teknologi yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguatkuasaan utama negara, lebih hebat dan terkini.

Majlis anjuran PDRM bersama KOP Mantap Berhad dan An Informa Business (IBC) ini telah dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun di Ballroom 1, Hotel Meridien, Putrajaya pagi tadi.

Persidangan ini menekankan kesan teknologi terhadap kepolisan dan ia mempamerkan pandangan dari Ketua Penguatkuasa Undang-undang serantau serta antarabangsa bersama pemimpin global dan inovator dalam arena teknologi.

Berucap dalam majlis tersebut, Tan Sri Mohamad Fuzi berkata, kepelbagaian teknologi sememangnya telah terbukti banyak membantu PDRM menguatkuasakan undang-undang dalam usaha membanteras aktiviti jenayah yang dihadapi pada hari ini.

“Penggunaan teknologi ini telah mentransformasikan penguatkuasaan undang-undang dan sekaligus membawa manfaat kepada negara,” ujarnya.

Antara tumpuan utama dalam persidangan ini adalah membincangkan tentang peranan teknologi, penggunaan teknologi dan kolaborasi sempadan.

Turut diadakan, pameran perdagangan membolehkan para peserta berganding bahu di dalam mereka cipta teknologi baru serta berkongsi maklumat untuk memperkasakan pasukan, keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.

Turut hadir Pengerusi KOP Mantap Berhad, Dato’ Seri Ayub Yaakob, Forensic Lead, High-Tech Crime Unit, City of London Police, Paul Dainty, Executive Director, ASEANAPOL, Police Colonel Kenechanh Phommachack dan Deputy Director of Innovation Centre, INTERPOL Global Complex for Innovation (IGCI), Michael Ang.

1
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun memberi ucapan

2
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi Harun melawat booth Pameran Teknologi Polis.

0R9A8183
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS